Lembaga Pemantauan Audit SC Sasar Perkukuh Pengawasan Jawatankuasa Audit terhadap Juruaudit dan Proses Audit

8 April 2022  |  Kuala Lumpur

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa Jawatankuasa Audit (AC) syarikat awam tersenarai (PLC) mengadakan libat urus dengan juruaudit secara berterusan dan teliti untuk menggalakkan proses audit yang berkesan.

AOB mengingatkan AC peranan mereka dalam memacu peningkatan kualiti audit ketika siri `Bual Bicara AOB bersama Jawatankuasa Audit’ secara maya. Siri tersebut merupakan sebahagian daripada libat urus berterusan AOB dengan AC untuk mengukuhkan pengawasan PLC terhadap juruaudit dan proses audit. Ini selaras dengan usaha SC untuk menambah baik tadbir urus korporat dalam PLC dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang telah diaudit. Ia juga sebahagian daripada inisiatif pembinaan kapasiti AOB bagi industri perakaunan dan pengauditan.

AOB menekankan bahawa AC perlu mempertimbangkan maklumat dalam Laporan Ketelusan Tahunan (ATR) yang disediakan oleh firma audit mereka, ketika menilai pelantikan dan pelantikan semula juruaudit luar. ATR menyediakan maklumat struktur perundangan dan tadbir urus firma, langkah yang diambil untuk mendukung kualiti audit dan mengurus risiko, dan pengukuran penunjuk kualiti audit.

Di samping itu, AC amat digalakkan untuk memahami dan membincangkan pemerhatian dan statistik peringkat firma yang dikongsi dalam Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB dengan juruaudit masing-masing, bagi memastikan risiko yang dikenal pasti ditangani dengan sebaiknya. Berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar, AOB turut menggesa AC agar terus menilai impak pandemik Covid-19 ke atas kawalan dalaman pelaporan kewangan.

‘Bual Bicara AOB bersama Jawatankuasa Audit’ yang diadakan kelmarin merupakan sesi libat urus terakhir dengan AC yang bermula sejak bulan November tahun lalu. Lebih 1,250 ahli AC daripada 715 PLC menghadiri sesi tersebut, dan berkongsi pandangan tentang amalan baik AC dalam menyokong kualiti audit.

LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup