Mahkamah memihak kepada SC dalam kes manipulasi Iris
29 Ogos 2017  |   Kuala Lumpur
Mahkamah Tinggi hari ini mengumumkan bahawa ia memihak kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadap enam defendan warga asing berkenaan peranan mereka dalam kes manipulasi saham Iris Corporation Bhd (Iris) pada 2006, yang mengakhiri saman sivil yang difailkan oleh SC pada 2008.
Keputusan pada hari ini merupakan tambahan kepada keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 16 Jun 2017 yang memihak kepada SC terhadap seorang lagi defendan dalam kes saman ini, iaitu Richard Benjamin Choen atas peranannya dalam manipulasi yang sama. Cohen, bekas penganalisis penyelidikan di Aeneas Capital Management L.P juga turut diperintahkan untuk membayar kos sebanyak RM50,000 kepada SC.

Cohen, bersama enam defendan tersebut, iaitu Aeneas Capital Management L.P, Priam Holdings Limited, Aeneas Portfolio Company L.P, Acadian Worldwide Inc, Thomas R. Grossman dan John Suglia, kini tidak dibenarkan untuk menjalankan dagangan dalam mana-mana kaunter di Bursa Malaysia.

Iris, sebuah syarikat pembuat kad pintar bagi pasport elektronik dan kad pengenalan elektronik, ketika itu masih disenaraikan di Bursa Malaysia. SC mendakwa bahawa defendan-defendan bersubahat dalam kes manipulasi saham Iris sepanjang tempoh 44 hari. Manipulasi tersebut telah menyebabkan harga saham Iris telah meningkat daripada RM0.08 kepada harga penutup tertinggi sebanyak RM1.36 sesaham dengan purata harian sebanyak 200 juta saham telah didagangkan sepanjang tempoh tersebut.

Kesemua tujuh defendan telah diisytihar kerana bersubahat untuk memanipulasi harga saham Iris dan melanggar seksyen 84(1), 85(1)(a) dan 87A Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup