Keputusan ini mempunyai kesan meluas kepada sistem perundangan Malaysia kerana terdapat 32 peruntukan yang serupa dengan peruntukan tersebut. Seksyen 122(1) SIA menganggap seorang pengarah syarikat, ketua pegawai eksekutif, pegawai atau wakil syarikat, telah melakukan suatu kesalahan syarikat itu, melainkan jika dia dapat membuktikan ketiadaan persetujuan atau pembiaran di pihaknya dan melaksanakan usaha untuk mencegah pelakuan kesalahan itu.
Gan Boon Aun (Gan), bekas Ketua Pegawai Eksekutif Transmile Group Bhd (Transmile), telah dikenakan pertuduhan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 2007 kerana bersubahat dengan Transmile dalam membuat kenyataan yang mengelirukan tentang butiran material berkaitan hasil Transmile dalam Laporan Suku Tahun Keputusan Belum Diaudit yang Digabungkan bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2006, yang berkemungkinan mendorong pembelian saham Transmile oleh individu lain.
Gan juga dikenakan pertuduhan alternatif kerana mengemukakan kenyataan yang mengelirukan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd dalam penyata kewangan yang sama. Gan telah dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan alternatif tersebut selepas penutupan kes pendakwaan.
Pada Jun 2011, Gan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk merujuk soalan perlembagaan mengenai kesahihan seksyen 122(1) SIA dengan alasan bahawa peruntukan tersebut tidak selaras dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan. Pada 2016, Mahkamah Tinggi telah merujuk soalan perlembagaan tersebut untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan tersebut adalah sah dan memerintahkan kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk meneruskan perbicaraan.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA