Mahkamah Rayuan memerintahkan Low Thiam Hock membela diri terhadap tuduhan manipulasi
28 Februari 2013   |   Kuala Lumpur

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen untuk membebaskan Low Thiam Hock daripada tuduhan memanipulasi harga saham-saham Repco Holdings Berhad (Repco) di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 3 Disember 1997.

Rayuan Suruhanjaya Sekuriti (SC) kini dibenarkan dan Low telah diperintahkan supaya membela diri di Mahkamah Sesyen. Dia perlu menjawab pertuduhan di bawah seksyen 84(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA), yang membawa penalti denda minimum RM1 juta dan penjara bagi tempoh maksimum sehingga 10 tahun.

Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh Hakim Dato Sri Haji Apandi Haji Ali, Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Datuk Dr Haji Hamid Sultan Abu Backer telah membenarkan rayuan oleh SC dan sebulat suara memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Low mencukupi untuk menerangkan dan mengekalkan kesalahan di bawah seksyen 84(1) SIA.

Low diperintahkan supaya membela diri terhadap tuduhan mengarahkan wakil peniaga di Sime Securities Sdn Bhd untuk membeli saham-saham Repco dengan mengambil sebarang harga tawaran saham-saham tersebut yang ditawarkan oleh penjual, yang mana tindakan itu dikira untuk mewujudkan keadaan yang mengelirukan terhadap harga saham-saham Repco di BSKL pada 3 Disember 1997.

Mahkamah Rayuan memerintahkan sebutan diadakan di Mahkamah Sesyen pada 7 Mac 2013 bagi memulakan perbicaraan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup