Pada bulan Mei 2011, Mahkamah Tinggi telah mengetepikan permohonan Ramesh Chelliah bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap pendaftaran PwC oleh AOB bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Dalam menyampaikan keputusan kehakimannya, Hakim Dato’ Rohana Binti Yusuf bersetuju bahawa terdapat kesilapan dalam permohonan tersebut dan pemohon tidak mempunyai locus standi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi juga memerintahkan supaya pemohon membayar kos kepada Pejabat Peguam Negara dan SC.
Mahkamah Rayuan, yang dianggotai oleh Dato’ Nihrumala Segara A/L M.K. Pillay, Dato’ Alizatul Khair Binti Osman Khairuddin dan Datuk Wira Mohtarudin Bin Baki , mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan pemohon dengan kos.
AOB ditubuhkan pada 2010 bagi melindungi kepentingan pelabur dan menggalakkan keyakinan dalam kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan beraudit Entiti Kepentingan Awam (PIE) yang termasuklah syarikat tersenarai awam, pengantara berlesen, institusi yang dilesenkan bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 dan syarikat insurans bawah Akta Insurans 1996.
Kini, dalam tahun kedua operasinya, AOB telah, dari Januari hingga September 2011, memeriksa 14 firma audit yang mengaudit 52% daripada sejumlah PIE yang mewakili 65% PLC, berdasarkan permodalan pasaran. AOB terus memeriksa firma audit dan memantau perkembangan langkah-langkah remedi yang dikenal pasti.