Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3 juta ke atas pemanipulasi pasaran
9 April 2014   |   Kuala Lumpur
Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan Dato Phillip Wong Chee Kheong terhadap hukuman dua tahun penjara dan denda sebanyak RM3 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen ketika sabit kesalahannya di bawah seksyen 84(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Wong, 53 tahun, sebelum ini disabitkan oleh Mahkamah Sesyen selepas perbicaraan penuh pada 7 Januari 2011 atas kesalahan memanipulasi saham-saham Suremax Group Bhd.

Dia dituduh kerana melaksanakan urus niaga dalam 9 akaun yang tidak membabitkan sebarang perubahan dalam pemilikan benefisial saham-saham berkenaan. Rayuannya terhadap sabitan ini telah ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi YA Tuan Haji Kamardin bin Hashim pada 18 Mac 2014.

Wong hari ini sekali lagi merayu terhadap hukuman oleh Mahkamah Sesyen pada tahun 2011. Peguam Wong memohon hukuman yang minimum atas alasan bahawa dia kini ialah seorang muflis dan mempunyai ibu dalam jagaannya.

Sebagai respons, SC mengetengahkan bahawa kes ini membabitkan perbicaraan penuh yang mana seramai 38 orang saksi telah dipanggil dan telah mengemukakan banyak bukti berbentuk dokumen mengenai pembabitan aktif Wong dalam manipulasi tersebut sepanjang tempoh lebih lima bulan.

SC juga telah menegaskan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat kesilapan apabila menjatuhkan hukuman kerana beliau telah menekankan bahawa manipulasi pasaran ialah satu kesalahan yang serius yang menjejaskan keyakinan pelabur dan integriti pasaran sekuriti.

Dalam mengesahkan hukuman tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi mendapati bahawa tiada merit dalam rayuan tersebut dan memutuskan bahawa hukuman tersebut adalah tidak keterlaluan tetapi berpadanan dengan kesalahan yang telah dilakukan.

Kes ini menjadi satu tanda aras baharu bagi mengekang pemanipulasi pasaran dan melindungi integriti pasaran sekuriti.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup