Hakim Dato’ Rohana Binti Yusuf, pada pembicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, mengetepikan permohonan oleh Ramesh atas alasan bahawa permohonan tersebut dibuat melebihi masa dan pemohon bukanlah orang yang menerima kesan akibat keputusan SC bagi mendaftarkan PwC dan oleh itu tidak mempunyai locus standi bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap SC.
Semua permohonan mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman perlu diserahkan kepada AG. Kedua-dua AG dan SC berhujah bahawa terdapat beberapa kesilapan dalam permohonan tersebut dan membuat bantahan awal, memohon mahkamah supaya mengetepikan permohonan Ramesh. Dalam menyampaikan keputusannya, Dato’ Rohana bersetuju dengan bantahan tersebut dan menolak bagi memberikan kebenaran kepada Ramesh. Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Ramesh supaya membayar dengan kos kepada AG dan SC.
Pada bulan November 2010, Ramesh telah memfailkan permohonan untuk memulakan prosing semakan kehakiman terhadap keputusan mendaftarkan PwC oleh AOB bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1993.
SC menubuhkan AOB pada 2010 bagi mendaftarkan dan memantau juruaudit semua Entiti Berkepentingan Awam (PIE) yang termasuk syarikat tersenarai awam, pengantara berlesen, institusi berlesen bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 dan syarikat insurans bawah Akta Insurans 1996.
Tujuan utama penubuhan AOB adalah bagi melindungi kepentingan pelabur dan menggalakkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan beraudit PIE.