Mahkamah Tinggi Mengekalkan Sabitan ke atas Kes Manipulasi Saham Suremax
18 Mac 2014   |   Kuala Lumpur
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan Dato’ Philip Wong Chee Cheong dan Francis Bun Lit Chun dan mengekalkan sabitan ke atas mereka kerana terlibat dalam manipulasi saham-saham Suremax Group Bhd (Suremax).

Dato’ Philip, 52, Francis Bun Lit Chun, 43, didapati bersalah di bawah seksyen 84 Akta Perindustrian Sekuriti 1983 kerana manipulasi saham-saham Suremax Group Bhd antara 24 November 2004 dan 22 Mac 2005. Mereka telah melakukan kesalahan tersebut dengan menjalankan dagangan dalam sembilan akaun yang tidak membabitkan mana-mana perubahan dalam pemilikan benefisial saham-saham tersebut, yang mewujudkan gambaran dagangan aktif yang mengelirukan bagi saham-saham Suremax di Bursa Malaysia. Mereka dikenakan pertuduhan pada 25 Oktober 2005 yang mana 38 saksi telah dipanggil olah pihak pendakwaan. Kedua-dua tertuduh telah memberi keterangan ketika pembelaan.

Hakim Haji Kamardin bin Hashim ketika mengekalkan sabitan oleh Mahkamah Sesyen pada Januari 2011, menyatakan bahawa hakim dalam perbicaraan tidak membuat kesilapan ketika beliau mendapati bahawa saksi-saksi yang dipanggil oleh pihak pendakwaan adalah berwibawa. Beliau menegaskan bahawa perbicaraan telah dijalankan secara adil dan tiada sebarang prasangka terhadap kedua-dua perayu ketika perbicaraan.

Mahkamah Tinggi akan menetapkan hukuman yang akan dikenakan pada hari Khamis, 27 Mac 2014 kerana peguam yang mewakili perayu-perayu telah memohon penghujahan mengenai hukuman untuk didengar oleh mahkamah sebelum rayuan terhadap hukuman diputuskan. Mahkamah Tinggi telah mengarahkan agar jaminan dinaikkan kepada RM500,000 setiap perayu sementara menunggu keputusan rayuan terhadap hukuman masing-masing. Kedua-dua perayu menghadapi hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Pada 2011, Mahkamah Sesyen telah menjatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda sebanyak RM3 juta terhadap Dato’ Philip Wong manakala Francis Bun dijatuhi hukuman penjara selama 3 bulan dan denda sebanyak RM2 juta.

SC berpandangan positif dengan keputusan pada hari ini memandangkan betapa seriusnya kesalahan manipulasi pasaran. Usaha penguatkuasaan memainkan peranan penting dalam memelihara keutuhan dan keyakinan terhadap pasaran dan SC ingin mengingatkan peserta pasaran bahawa manipulasi dan dagangan orang dalam merupakan kesalahan yang amat serius. SC komited untuk terus memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan tersebut bagi memastikan keutuhan pasaran modal dikekalkan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup