Mahkamah tolak permohonan Soh Chee Wen agar dilepaskan daripada pendakwaan jenayah

Kuala Lumpur, 20 Oktober 2005

Mahkamah Sesyen hari ini menolak permohonan Soh Chee Wen agar dilepaskan daripada pendakwaan jenayah. Soh mendakwa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya oleh Suruhanjaya Sekuriti kerana menggunakan satu skim untuk menipu Omega Securities Sdn Bhd dan kerana bersubahat dalam mengemukakan maklumat palsu kepada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) adalah cacat.

Hakim Mahkamah Sesyen Azimah Omar membuat keputusan tersebut hari ini, selepas mempertimbangkan semua pengemukaan. Hakim Mahkamah Sesyen dalam mendapati pertuduhan tersebut yang mengandungi butiran yang mencukupi, tidak cacat dan menunjukkan satu kesalahan, memutuskan bahawa -

  1. Peraturan Dagangan oleh Syarikat Ahli BSKL ( Rules for Trading by Member Companies ) (Peraturan BSKL) adalah terpakai bagi kedua-dua transaksi sekuriti dalam dan di luar pasaran;
  2. seksyen 87A Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) terpakai atas mana-mana individu tanpa mengira sama ada individu tersebut ialah Syarikat Ahli atau tidak;
  3. rujukan kepada Undang-undang 20 ( Rule 20 ) Peraturan BSKL dalam pertuduhan tersebut tidak menjadikan pertuduhan tersebut cacat kerana ia hanyalah butiran pertuduhan yang bertujuan memberikan tertuduh notis kes terhadapnya; dan
  4. istilah ' contango' yang dinyatakan dalam salah satu pertuduhan tersebut ialah istilah industri dan oleh itu tidak memerlukan takrifan perundangan tertentu.

Soh telah dikenakan pertuduhan di bawah seksyen 87A SIA 1983 bagi penipuan sekuriti dan pada 5 September 2005 bagi tiga lagi pertuduhan alternatif kerana bersubahat di bawah seksyen 122(b)(a) SIA yang dibaca bersama dengan seksyen 122(c) SIA 1983. Soh tidak mengaku bersalah ke atas semua pertuduhan.

Hakim Azimah Omar menetapkan 24-27 Oktober 2005 untuk meneruskan perbicaraan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup