Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Mekanisme Pembiayaan Infrastruktur ASEAN yang pertama

Kuala Lumpur, 3 November 2008

Pembuat dasar serantau utama dan pakar-pakar global dalam pembangunan infrastruktur akan berhimpun di Malaysia minggu depan apabila negara menjadi tuan rumah kepada Persidangan Mekanisme Pembiayaan Infrastruktur ASEAN (AIFM) yang julung kali diadakan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 November 2008.

Persidangan itu, yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan, Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia (SC) bagi pihak Pasukan Petugas Mekanisme Pembiayaan Infrastruktur ASEAN, menggariskan komitmen rantau ini dalam mencari penyelesaian berorientasikan pasaran yang inovatif bagi menggalakkan tahap lebih tinggi pembangunan infrastruktur.

Persidangan itu akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Manakala YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan II Malaysia, akan membuat ucapan penutup.

Pembuat dasar utama lain yang akan menyertai persidangan itu termasuklah Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dr Surin Pitsuwan, yang akan menyampaikan ucapan khas makan tengah hari, dan Thirachai Phuvanatnaranubala, Setiausaha Agung Suruhanjaya Sekuriti & Bursa Thailand, dan Pengerusi Forum Pasaran Modal ASEAN.

Persidangan tersebut menarik penyertaan ramai pakar global termasuk Pushpanathan Sundram dari Sekretariat ASEAN, Kamran M Khan dan Timothy Irwin dari Bank Dunia, Jaseem Ahmad dari Bank Pembangunan Asia, Dr Biswa N. Bhattacharyay dari ADB Institute, Hari Sankaran dari Infrastructure Leasing & Financial Services of India, R Ravimohan dari Standard & Poor’s, Chew Seng Kok dari Zaid Ibrahim & Co, dan Mak Hoy Yit dari BNP Paribas Capital.

Persidangan sehari ini akan dihadiri oleh delegasi kanan kerajaan daripada Pasukan Petugas AIFM dari 10 ahli negara ASEAN dan terbuka kepada orang ramai.

Persidangan itu akan memberikan peluang baik kepada sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti isu utama dan peluang untuk mengukuhkan kerjasama mereka dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur di rantau ini. Borang pendaftaran untuk persidangan tersebut boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup