Malaysia dan Dubai Tanda Tangan Perjanjian Penting Bagi Membenarkan Aliran Rentas Sempadan Dana Islam

Kuala Lumpur, 27 Mac 2007

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Dubai Financial Services Authority (DFSA) hari ini mencatatkan pencapaian penting dalam pengagihan dan pemasaran rentas sempadan dana Islam antara Malaysia dan Dubai International Financial Centre (DIFC).

Perjanjian pengiktirafan bersama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Dubai Financial Services Authority (DFSA), yang pertama seumpamanya antara dua pasaran Islam, merupakan pencapaian penting yang menyediakan pintu masuk bagi penggiat pasaran modal Malaysia ke pasaran Timur Tengah.

Pengerusi SC, Dato’ Zarinah Anwar dan Ketua Eksekutif DFSA, David Knott menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua Malaysia, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Proses liberalisasi dua hala antara kedua pusat kewangan Islam ini akan membolehkan pemasaran dan pengagihan rentas sempadan dana Islam dengan campur tangan minimum pengawalseliaan. Ini akan dimudahcarakan dengan kemasukan Malaysia ke dalam Notis Bidang Kuasa Yang Diperaku DFSA.

Pada masa yang sama, dana Islam yang telah didaftarkan atau dilaporkan dengan DFSA akan mempunyai akses kepada pelabur Malaysia. Dengan ini, pengantara pasaran modal Islam akan meraih manfaat daripada pintu masuk untuk mengagihkan produk Islam mereka kepada pasaran yang berkembang pantas manakala pelabur Malaysia akan mempunyai akses kepada pelbagai produk Islam daripada DIFC.

Bawah perjanjian tersebut, kedua-dua pengawal selia akan bekerjasama secara erat dalam bidang pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang sekuriti bagi memastikan perlindungan yang mencukupi bagi pelabur.

“Dengan mengadakan pengaturan pengiktirafan bersama, Malaysia dan DIFC mempamerkan komitmen kami untuk mempercepat pertumbuhan industri pengurusan pelaburan kami melalui dagangan produk pelaburan yang diperaku dalam pasaran satu sama lain,” kata Dato’ Zarinah.

Kerangka pengiktirafan bersama tersebut akan menyediakan banyak manfaat kepada peserta pasaran termasuk kos pengawalseliaan yang lebih rendah dan pangkalan pelabur yang diperluas,” beliau menambah.

Dato’ Zarinah berkata pengaturan bersama DFSA ini juga adalah sejajar dengan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa.

David Knott berkata, “DFSA gembira bahawa hasil daripada inisiatif bersama ini, dana tempatan DIFC akan menjadi dana asing pertama yang dibenarkan untuk dijual di Malaysia. Pengaturan ini merupakan langkah positif bagi kedua-dua bidang kuasa, dan bertujuan memudahcarakan aliran rentas sempadan produk pasaran modal Islam, seperti yang dirancang ketika inisiatif ini pertama kali diumumkan pada bulan Ogos 2006”.

“DFSA adalah komited untuk membantu kedua-dua DIFC dan DIFX dalam objektif mereka untuk menggalakkan inovasi dan pertumbuhan pasaran modal Islam di Timur Tengah,” beliau menambah.

Perjanjian ini adalah berikutan pengumuman sebelum ini yang dibuat pada 15 Ogos 2006 ketika permulaan inisiatif bersama mengenai penjajaran kawal selia untuk memudahcarakan urus niaga kewangan Islam antara DIFC dan Malaysia, yang kini telah siap.

Pada bulan Ogos 2006, SC menandatangani satu Memorandum Persefahaman dengan DFSA untuk memudahcarakan pertukaran maklumat, kerjasama dan perundingan. Sc juga baru-baru ini bekerjasama dengan DFSA mengenai satu penyiasatan ke atas skim pelaburan penipuan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup