MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar dan Pengerusi CMB, Dr Vedat Akgiray di Kuala Lumpur. Dr Akgiray mengetuai satu delegasi 12 pegawai peringkat tinggi dari Turki untuk lawatan dua hari ke Malaysia.
Tan Sri Zarinah berkata, “MoU tersebut merupakan langkah penting ke arah mengukuhkan kerjasama pengawalseliaan dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama antara pasaran modal Turki dan Malaysia.”
“MoU itu akan membolehkan kita meningkatkan tahap kerjasama pengawalseliaan antara pasaran masing-masing sejajar dengan objectif dan standard IOSCO,” kata Dr Akgiray. IOSCO atau Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti, diiktiraf sebagai penetap standard antarabangsa terkemuka bagi pasaran sekuriti.
Bawah MoU itu, SC dan CMB akan bertukar-tukar maklumat bagi memudahcarakan pemantauan dan penguatkuasaan pasaran modal masing-masing, bertukar-tukar pengetahuan teknikal dan bekerjasama dalam bidang yang ada kepentingan bersama.
SC, komited dalam mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam kawal selia sekuriti, telah menandatangani 28 MoU dengan pelbagai pengawal selia sejak 1994. Mereka termasuklah Agensi Penyeliaan Pasaran Modal Indonesia, Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand, Suruhanjaya Sekuriti dan Pengawalseliaan China dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Dubai. SC juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman Multilateral IOSCO, sebuah perjanjian perkongsian maklumat global di kalangan pengawal selia sekuriti.