Malaysia dan UAE Bekerjasama Membina Keupayaan Pasaran Modal Islam
28 Oktober 2014   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Sekuriti dan Komoditi (SCA) UAE hari ini bertukar-tukar memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama strategik dalam membina keupayaan di antara kedua-dua pengawal selia utama pasaran modal Islam itu.

Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC, bersama-sama dengan Tuan Yang Terutama Abdullah Al-Turifi, Ketua Pegawai Eksekutif SCA, bertukar-tukar MoU pada Forum Ekonomi Islam Dunia ke-10 di Dubai, dengan Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Najib Tun Razak menyaksikan majlis tersebut.

MoU itu menggariskan asas bagi kerjasama seterusnya di antara SC dan SCA, termasuk membolehkan inisiatif kerjasama dalam pembangunan modal insan, dengan penekanan utama kepada pembangunan profesional pasaran modal dan industri perkhidmatan kewangan di Malaysia dan UAE. Ini bertujuan untuk meningkatkan mobiliti tenaga kerja mahir dan profesional di antara kedua-dua pasaran kewangan Islam yang terkemuka itu. MoU itu juga akan membolehkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan kepimpinan serantau untuk bersama-sama mempromosikan pasaran modal.

Securities Industry Development Corporation (SIDC), pusat pembangunan bakat pasaran modal SC, akan menjalankan tugas untuk mendorong kerjasama ini dengan pihak berkuasa UAE.

“MoU ini menunjukkan komitmen yang kuat daripada SC dan SCA untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada dan memperdalam kerjasama dalam membangunkan kapasiti dalam pasaran modal, termasuk pasaran modal Islam. Kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada usaha SC yang lebih luas untuk memupuk lebih banyak usaha sama strategik dengan rakan-rakan kami dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk lebih mengantarabangsakan pasaran modal Islam dan memudahkan lebih banyak peluang rentas sempadan dalam pasaran," kata Datuk Ranjit Ajit Singh, yang juga Pengerusi SIDC.

Tuan yang Terutama Al-Turifi berkata, "Pemeteraian perjanjian itu adalah dalam rangka usaha yang berterusan SCA untuk menyediakan persekitaran pelaburan yang sesuai untuk pelabur bagi melindungi pelaburan mereka, merangsang pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi negara, mengekalkan kestabilan, keadilan dan ketelusan transaksi di pasaran tempatan dan untuk membangunkan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka yang terlibat di pasaran tersebut, dengan cara yang akan menyumbang kepada semangat mampan tahap perkhidmatan kewangan dalam pasaran."

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup