Malaysia diiktiraf sebagai destinasi pelaburan yang diluluskan oleh China 
23 Jun 2010   |   Kuala Lumpur
China telah memperakui Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan di bawah skim Pelabur Institusi Domestik Berkelayakan China (QDII) yang ditadbir oleh Suruhanjaya Pengawalseliaan Perbankan China (CBRC).

Perakuan itu menandakan satu langkah besar ke hadapan bagi pasaran modal Malaysia kerana ia memudahcarakan pengaliran dana China ke dalam Malaysia dan membuka peluang perniagaan bagi pengantara pasaran modal Malaysia.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Tan Sri Zarinah Anwar dan Pengerusi CBRC Mr Liu Mingkang menandatangani Surat Pertukaran di Beijing hari ini untuk merasmikan perakuan tersebut.

Pengerusi Bursa Malaysia Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah, Duta Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin, Timbalan ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Latifah Datuk Abu Mansor dan pegawai-pegawai kanan SC turut menghadiri majlis tandatangan tersebut.

Pada masa yang sama, Suruhanjaya Pengawalseliaan Sekuriti China (CSRC) turut mengesahkan, berdasarkan Memorandum Persefahaman (MOU) yang sedia ada dengan SC, Malaysia juga menjadi destinasi pelaburan yang diluluskan bawah program QDII yang ditadbir oleh pengawal selia pasaran modal.***

QDII merupakan satu skim yang membolehkan warga negara China melabur dalam pasaran luar negara melalui institusi yang diluluskan. Dengan pengiktirafan tersebut, institusi yang diluluskan dan dikawal selia oleh CBRC dan CSRC kini boleh melaburkan dana yang dikumpulkan daripada pelanggan mereka ke dalam sekuriti Malaysia, termasuk ekuiti, produk-produk pendapatan tetap dan skim pelaburan kolektif yang diluluskan oleh SC.

Institusi China ini boleh juga mendapatkan perkhidmatan pengurus dana Malaysia berlesen bagi membantu perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaburan QDII. Potensi aliran masuk dana China akan menyumbang kepada peningkatan kecairan dalam pasaran Malaysia.

Tan Sri Zarinah berkata: “Program QDII tersebut membuka peluang besar untuk pengantara pasaran modal Malaysia memperoleh laluan kepada pasaran China. Oleh itu, mereka patut mengambil peluang ini sepenuhnya bagi memperluas kecapaian mereka terhadap kumpulan pelabur baru ini.”

Dengan perakuan tersebut, Malaysia kini menyertai kedudukan 10 QDII bidang kuasa lain yang diiktiraf bawah CBRC. Mereka ialah Australia, Kanada, Hong Kong, Jerman, Jepun, Luxembourg, Singapura, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

*** SC dan CSRC menandatangani MOU berhubung dengan Kerjasama Pengawalseliaan Sekuriti dan Niaga Hadapan pada 18 April 1997.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup