Malaysia Keluarkan Garis Panduan Pertama di Dunia bagi REITs Islam

SC Tetapkan Ukur Rujuk Global bagi Pembangunan REITs Islam

Kuala Lumpur, 21 November 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan bagi Amanah Pelaburan Hartanah Islam (Garis Panduan REITs Islam) bagi memudahcarakan pembangunan seterusnya produk baru pasaran modal Islam, menjadikan Malaysia sebagai bidang kuasa pertama dalam sektor kewangan Islam global yang mengeluarkan garis panduan sedemikian dan menetapkan ukur rujuk global bagi pembangunan amanah pelaburan hartanah Islam (REITs Islam).

Menteri Kewangan II sebelum ini telah mengumumkan pada 17 November 2005 bahawa garis panduan tersebut akan dikeluarkan oleh SC.

Pencapaian terkini ini meningkatkan lagi peranan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan pasaran modal Islam di kalangan komuniti kewangan antarabangsa, dan akan menggalak dan mempercepatkan lagi pertumbuhan pasaran modal Islam yang kompetitif di Malaysia.

Perkembangan ini juga meningkatkan pasaran kewangan Islam sebagai pelengkap kepada bentuk pelaburan konvensional. Berikutan ini, Garis Panduan REITs Islam melengkapkan Garis Panduan Amanah Pelaburan Hartanah SC yang dikeluarkan pada 3 Januari 2005.

Teras garis panduan terkini tersebut adalah untuk menyediakan peluang pelaburan baru bagi mereka yang ingin melabur dalam hartanah melalui instrumen pasaran modal patuh syariah. Garis Panduan REITs Islam memudahcarakan pewujudan satu kelas aset baru kepada pelabur dan membolehkan pengurus dana mempelbagai lagi sumber dan portfolio pelaburan mereka. Garis panduan tersebut turut memberi peluang kepada pelabur antarabangsa yang mahukan instrumen patuh syariah, melabur dalam hartanah Malaysia tanpa memerlukan mereka memiliki asset tersebut secara langsung.

Kriteria patuh Syariah telah dinyatakan dalam garis panduan tersebut bagi membimbing syarikat pengurusan dalam aktiviti mereka yang berkaitan dengan REITs Islam, termasuk berkenaaan dengan jenis sewaan dan aktiviti pelaburan sesebuah dana yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan oleh Syariah.

Garis Panduan REITs Islam tersebut telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah SC dan merupakan hasil daripada usaha penyelidikan dan penilaian berterusan SC terhadap instrumen baru bagi menggalakkan penstrukturan instrumen pasaran modal yang mengikut kerangka yang diluluskan oleh Syariah.

Pengenalan Garis Panduan REITs Islam tersebut adalah konsisten dengan cadangan Pelan Induk Pasaran Modal untuk memudahcarakan pembangunan skim pelaburan kolektif Islam yang lebih luas, memandangkan kumpulan dana Islam global yang agak besar.

Garis panduan tersebut dan satu set soalan lazim (FAQ) boleh didapati di tapak web SC di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup