Malaysia Ketuai Usaha Perkembang Potensi Pasaran Modal Islam: Pendorong Utama Tersedia

Kuala Lumpur, 16 Januari 2004

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terus memainkan peranan utama mengetuai usaha membangun dan mengembangkan potensi pertumbuhan pasaran modal Islam tempatan dan global, agar menjadi alternatif yang kukuh dan menarik kepada pasaran konvensional.

Timbalan Ketua Eksekutif SC Datin Zarinah Anwar, dalam ucap utamanya di Persidangan Tahunan Kewangan Islam ke-3 di London minggu ini, membincangkan berkenaan pendorong utama dan cabaran dalam mencapai matlamat ini.

"Malaysia memperoleh manfaat kerana telah mempunyai faktor-faktor utama untuk membangunkan pasaran modal Islam, iaitu hala tuju strategik yang jelas daripada Pelan Induk Pasaran Modal, dan rangka kerja sistemik - iaitu dalam bidang perundangan, perakaunan, percukaian dan Syariah serta mendapat sokongan padu daripada pihak kerajaan. Pengalaman di Asia telah menunjukkan bahawa faktor ini merupakan unsur penting untuk berjaya," kata beliau.

Pasaran modal Islam yang besar dan berjaya akan menyumbang ke arah peluasan dan kedalaman pasaran kewangan Islam secara keseluruhannya di Malaysia, yang mana juga dilengkapi oleh Pelan Induk Sektor Kewangan.

Malaysia merupakan negara pertama yang menerbitkan bon Islam global yang telah dijadikan sebagai ukur rujuk bagi terbitan bon lain. Bursa Kewangan Labuan telahpun mempunyai beberapa penyenaraian sekuriti Islam global juga bon Islam Global Qatar yang dijangka akan disenaraikan tidak lama lagi, manakala separuh daripada dana pasaran modal dunia Islam (dianggarkan sekitar USD1.65 bilion) berada di Malaysia.

Berdasarkan usaha merintis dan pencapaian SC dalam bidang ini, Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) telah memberikan kepercayaan kepada SC untuk mempengerusikan Pasukan Petugas Pasaran Modal Islam. Pasukan Petugas tersebut menjalankan kajian pencarian fakta untuk menilai kedudukan dan perkembangan pasaran modal Islam di peringkat global, mengenal pasti sebarang jurang kawal selia dalam bidang tersebut dan mempertingkat tahap pengetahunan anggota negara IOSCO mengenai produk dan aktiviti kewangan yang berasaskan prinsip Islam yang ditawarkan di seluruh dunia. Pasukan Petugas tersebut terdiri daripada pengawal selia utama pasaran modal dari pasaran maju dan membangun, iaitu AS, UK, Australia, Itali, Thailand, Jordan, Turki dan Nigeria.

Datin Zarinah mengatakan bahawa sedang pasaran kewangan Islam Malaysia berkembang pesat, namun banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan daya saing global produk kewangan Islam untuk menjadi pelengkap penting kepada sistem konvensional.

"Pasaran kewangan Islam boleh diposisikan dalam pasaran global sebagai pelengkap yang bertenaga kepada sistem konvensional, dan sebagai sebahagian komponen penting dalam menyumbang ke arah peluasan sistem kewangan global," kata beliau.

Semasa memberikan tumpuan terhadap salah satu cabaran ketika ini iaitu asas pelabur yang sempit, Datin Zarinah mengatakan, "Telah diperkatakan bahawa kewangan Islam ialah satu masalah yang melibatkan "berbilion dana tidak mempunyai tempat untuk dilaburkan’. Dianggarkan bahawa terdapat dana bernilai sekurang-kurangnya USD1.3 trilion dimiliki oleh orang Islam di negara Asia Timur yang tidak dilaburkan dalam produk Islam."

Datin Zarinah menambah bahawa daya saingan produk dan pasaran adalah penting dalam meletakkan produk Islam di peringkat global. "Untuk meluaskan asas pelabur, perlu ada inovasi produk yang lebih besar yang berlaku dengan pantas. Kerjasama yang lebih erat, sumber yang lebih besar serta kemahuan adalah perlu untuk mendapatkan dana yang tidak digunakan," kata beliau. Produk perlu menjadi lebih inovatif untuk bertindak balas terhadap permintaan pasaran yang berubah-ubah dengan pantas akibat globalisasi, liberalisasi dan inovasi teknologi.

Beliau juga menegaskan dalam menangani cabaran ini, perlu dipastikan bahawa produk Islam tidak berada dalam keadaan kurang kompetitif berbanding produk konvensional, bagi mewujudkan pasaran yang mendalam untuk meningkatkan kecairan dana serantau dan antarabangsa, serta bagi menyediakan rangka kerja perundangan, perakaunan dan percukaian yang kukuh. Di samping itu, standard penzahiran dan ketelusan hendaklah diukur rujuk kepada amalan terbaik antarabangsa.

Datin Zarinah juga menyentuh mengenai keperluan meningkatkan kesedaran pelabur mengenai kehadiran produk Islam dengan mendekatkan pasaran kepada orang ramai. Terdapat berbagai cara iatu dengan menjelaskan istilah kewangan Islam agar lebih difahami, mengukuhkan lagi reputasi prinsip tanggungjawab etika dan sosial yang diteraskan di sebalik produk Islam dan menyediakan lebih data mengenai kewangan Islam melalui pengumpulan dan penyebaran data berpusat di kalangan negara-negara.

Malaysia juga secara aktif terbabit dalam usaha menyeragamkan penafsiran Syariah. Ketika ini, cendekiawan Syariah Malaysia bertindak sebagai penasihat kepada organisasi antarabangsa dan institusi kewangan Islam seperti Pertubuhan Perakaunan dan Audit bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI), Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM), Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Pasaran Islam Dow Jones.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup