Malaysia Kongsi Pengalaman dalam Membangun Pasaran Bon Terbesar di Asia Tenggara

SIDC Anjur Bersama Program Latihan Serantau bersama University of Sydney di bawah Naungan AusAID

Kuala Lumpur, 14 November 2005

Pakar antarabangsa, pengawal selia dan peserta bertemu di Malaysia untuk membincangkan pembangunan pasaran bon Asia dalam program latihan bertajuk 'Memperkukuh Pembangunan Pasaran Bon di APEC'.

Program lima hari yang bermula dari 14-18 November 2005 tersebut dianjur bersama oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) dan Research Institute for Asia and the Pacific (RIAP) University of Sydney, di bawah naungan Australian Agency for International Development (AusAID).

Program ini bertujuan menggalakkan lebih kefahaman mengenai pembangunan pasaran bon di kalangan ekonomi di rantau APEC, serta menyediakan platform bagi peserta antarabangsa untuk berbincang, mengenal pasti dan merumus langkah dasar yang menekankan fungsi pasaran bon yang berkesan.

Timbalan Ketua Eksekutif SC, Dato' Zarinah Anwar menegaskan dalam perutusan alu-aluan beliau bahawa, "Sebuah pasaran bon korporat yang kukuh dan maju merupakan faktor utama bagi pertumbuhan ekonomi kerana ia merupakan perantara bagi sektor korporat untuk menjana pembiayaan bagi aktiviti ekonomi mereka".

Bersama dengan sistem perbankan dan pasaran ekuiti, ia merupakan salah satu daripada tiga tunggak utama pembiayaan dalam mana-mana ekonomi, tambah beliau.

Beliau menyatakan bahawa pasaran bon Asia (tidak termasuk Jepun) telah berkembang pantas dengan kadar purata tahunan yang mengagumkan sebanyak 19.8% sejak tahun 1997 dan mencapai saiz berjumlah AS$1.4 trilion setakan akhir tahun 2004.

Di Malaysia, terdapat pertumbuhan yang menggalakkan dalam pasaran bon, yang telah berlipat tiga kali ganda dalam saiz daripada AS$36.3 bilion setakat akhir tahun 1997 kepada AS$115.6 bilion setakat akhir September 2005 dan kini membentuk lebih daripada 80% KDNK. Sebaliknya, pergantungan terhadap bank sebagai sumber pembiayaan telah berkurangan daripada 150% KDNK pada tahun 1997 kepada 115% KDNK setakat akhir tahun 2004.

Bon korporat kini meliputi 51% daripada jumlah bon tertunggak Malaysia, satu testimoni mengenai tahap pertumbuhan dan kepentingan pasaran bon kepada korporat Malaysia. Dalam mata wang dolar, sejumlah AS$49 bilion telah dijana oleh korporat Malaysia daripada pasaran bon terutamanya bagi projek pembangunan jangka panjang.

"Sebuah pasarn bon yang amat berjaya hanya akan tercapai dengan kerjasama antara pengawal selia, pemain pasaran dan perantara. Peranan pengawal selia untuk melindungi hak pelabur bon juga penting," tambah Dato' Zarinah.

Struktur perundangan yang tersedia dengan baik bagi penerbitan bon, amalan pasaran yang kukuh, dan penzahiran maklumat berkaitan yang bertepatanmasa kepada para pelabur kekal penting bagi perlindungan pelabur, dan secara implikasinya, sebuah pasaran bon yang berjaya.

Eksekutif kanan SC, pengawal selia daripada bidang kuasa utama dan pakar tajuk daripada institusi kewangan antarabangsa dan tempatan akan mengadakan perbincangan bagi menggalakkan peserta untuk berkongsi dan mempelajari pengalaman masing-masing.

Peserta dari China, Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Philippines menghadiri program tersebut yang dibahagikan kepada dua fasa. Fasa 1 diadakan di SC di Kuala Lumpur, Malaysia sementara Fasa 2 akan diadakan di Hanoi, Vietnam dari 12-16 Disember 2005.

Program pasaran bon bersama tersebut akan mengkaji isu-isu yang merangkumi pembangunan pasaran bon Asia dan Malaysia, cabaran bagi agensi penarafan, pembangunan pasaran bon Islam dan peluang pasaran bon dalam pasaran utama dan sekunder. Peserta juga akan mengambil bahagian dalam sesi bengkel untuk mengenal pasti halangan kepada pembangunan pasaran bon dan merumuskan strategi yang akan membantu menggalakkan pembangunan pasaran bon di negara masing-masing.

Ini merupakan kali kedua SC telah bekerjasama dengan RIAP dalam menganjurkan program latihan serantau.

RIAP merupakan institut pelbagai disiplin yang bertanggung jawab dalam membangunkan projek dan melaksanakan bantuan antarabangsa dan bantuan teknikal yang dibiayai oleh AusAID, APEC, badan-badan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi penderma lain.

AusAID ialah agensi bantuan rasmi Kerajaan Australi dan dananya digunakan bagi pelbagai aktiviti bantuan kemanusiaan, ekonomi dan pembangunan di seluruh Asia, termasuk sokongan bagi Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup