Malaysia Terajui Inisiatif Pembiayaan Bon Infrastruktur

SC dan Kementerian Kewangan Jepun anjur bersama Bengkel Pasaran Bon

Kuala Lumpur, 7 Disember 2006

Malaysia berkongsi pengalamannya dengan pembuat dasar serantau dalam usaha meraih manfaat pasaran bon tempatan bagi pembiayaan infrastruktur di Bengkel Bantuan Teknikal Inisiatif Pasaran Bon Asia (ABMI) yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini. Bengkel tersebut dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Kewangan Jepun.

Bengkel tertutup tersebut, bertemakan "Pembiayaan Infrastruktur: Pemangkin bagi Penerbitan Bon Rentas Sempadan", dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Pengerusi SC, Dato' Zarinah Anwar dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan bahawa objektif bengkel tahun ini adalah untuk mempromosikan agenda ABMI dalam membangunkan penerbitan bon rentas sempadan bagi pembiayaan infrastruktur serantau. SC mempengerusikan secara bersama Kumpulan Penyelarasan Bantuan Teknikal, salah satu daripada lima kumpulan kerja yang diberikan mandat oleh Menteri-Menteri Kewangan ASEAN+3 untuk mempromosikan objektif ABMI.

Bengkel dua hari tersebut, yang mengetengahkan penceramah dari sektor awam dan swasta rantau ini dihadiri lebih daripada 40 pegawai kanan kerajaan daripada negara ASEAN+3, dan wakil daripada Bank Pembangunan Asia dan bank-bank pelaburan utama di rantau ini.

Antara lain, peserta berkongsi pengalaman berkaitan mereka dalam membangun pasaran bon infrastruktur dan meneliti pelbagai mekanisme yang berdaya maju bagi penerbitan bon infrastruktur rentas sempadan, khususnya di mana dana jangka panjang boleh dijana di pasaran bon yang lebih membangun di rantau ini untuk memenuhi keperluan pelaburan negara anggota lain.

Sebagai contoh, Malaysia telah meliberalisasikan kerangka kerja pengawalseliaannya untuk memudahcarakan penerbitan bon di Malaysia oleh kerajaan asing, agensi kerajaan asing dan syarikat multinasional.

Bengkel tersebut, yang diadakan dengan sokongan ABMI, merupakan sebahagian daripada usaha yang diambil oleh negara ASEAN+3 untuk mempertingkat kerjasama serantau dalam menggerakkan tabungan Asia bagi pelaburan di Asia.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup