Menggalakkan Wakaf dalam Pasaran Modal Islam untuk Memacu Pembangunan Sosio-ekonomi

Buku Wakaf kedua SC dibangunkan bagi mengembleng usaha dalam ruang wakaf

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 21 Julai 2023

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti DRB-HICOM dan disokong oleh FGV Holdings Berhad (FGV) telah mengakhiri Persidangan Wakaf dan Pasaran Modal Islam hari ini.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti DRB-HICOM dan disokong oleh FGV Holdings Berhad (FGV) telah mengakhiri Persidangan Wakaf dan Pasaran Modal Islam hari ini.

Persidangan dua hari yang dihadiri lebih 250 peserta itu bertemakan ‘Menzahirkan Potensi Wakaf melalui Pasaran Modal Islam’. Ia menghimpunkan pihak berkepentingan dalam ruang wakaf, termasuk penggubal dasar, agensi kerajaan, ahli akademik, penasihat Syariah, Majlis Agama Islam Negeri (SIRC) dan pengamal pasaran modal.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, dalam ucapan alu-aluannya, berkata kewangan sosial Islam telah lama memainkan peranan dalam menggalakkan wakaf sebagai instrumen dalam agenda pembangunan sosio-ekonomi.

“Waqaf berpotensi besar untuk digunakan bagi mencapai matlamat pembangunan sosio-ekonomi dalam menangani kemiskinan, pengangguran, serta pembiayaan penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Bin Mokhtar dalam ucaptamanya menekankan bahawa dinamik instrumen kewangan sosial Islam berstruktur wakaf berpotensi memberi sumbangan signifikan kepada peningkatan rangkuman kewangan.

Ini, katanya, diiktiraf sebagai faktor penting dalam merealisasikan matlamat pembangunan mampan (SDG) seperti pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi.

Perbincangan pada persidangan tersebut tertumpu kepada peluang bekerjasama bagi pihak berkepentingan dalam mengembangkan impak wakaf. Diskusi panel dan syarahan juga membincangkan pembaharuan asas dan peranan kewangan sosial Islam sebagai pemangkin dalam menangani cabaran masyarakat.

Sesi-sesi tersebut dikendalikan oleh, antara lain, peneraju industri kewangan sosial Islam seperti Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Penerima Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam 2022, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie; Profesor Dr. Ashraf Md Hashim, ahli Majlis Penasihat Syariah (SAC) SC, serta Profesor Dato' Dr. Mohd Azmi Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF).

Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im juga mengumumkan bahawa SC akan bekerjasama dengan ahli akademik dan pemegang kepentingan utama untuk menerbitkan edisi kedua buku wakaf SC, yang akan melengkapkan buku pertama yang diterbitkan pada 2014.

Buku itu juga akan berfungsi sebagai salah satu rujukan utama pembangunan wakaf melalui pasaran modal Islam di samping Pelan Induk Waqaf Nasional yang akan dilancarkan hujung tahun ini.

Buku wakaf pertama SC yang bertajuk Aset Wakaf: Pembangunan, Tadbir Urus dan Peranan Pasaran Modal Islam, membincangkan isu dan cabaran penting wakaf sambil mempromosikan pembangunan aset wakaf melalui pasaran modal Islam.

Persidangan itu diakhiri dengan perbincangan meja bulat tertutup yang disertai oleh 54 peserta termasuk kepimpinan Majlis Agama Islam Negeri, penggubal dasar, ahli akademik, ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC dan peserta pasaran modal.

Hasil daripada perbincangan tersebut akan dijadikan laporan strategik dengan cadangan untuk inisiatif praktikal dan berkesan bagi merapatkan dan memanfaatkan potensi wakaf dan ICM yang memacu pembangunan sosio-ekonomi.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup