Menghadapi cabaran dalam tahun 2009 - SC mengeluarkan Laporan Tahunan 2008
11 Mac 2009   |   Kuala Lumpur
Pada sidang akhbar sempena pengeluaran Laporan Tahunan SC 2008, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Dato’ Sri Zarinah Anwar berkata bahawa teras utama pada tahun 2009 adalah bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan memastikan pasaran beroperasi secara adil dan teratur.

Berlatarkan persekitaran pasaran yang sukar, dan ditekankan lagi oleh pengelakan risiko yang semakin meninggi, SC akan memfokuskan kepada penyediaan sebuah platform yang cekap dan memudah cara bagi penjanaan dana dan penstrukturan semula korporat sertail mendukung standard penzahiran dan ketelusan yang tinggi.

“Kita mesti bekerjasama rapat untuk menghadapi semua cabaran ini. Kesemua kita yang mempunyai kepentingan dalam pasaran modal Malaysia perlu sentiasa berhati-hati dan membuktikan bahawa kita layak terhadap tugas tersebut. Tiada ruang untuk kita cepat berpuas hati,” katanya.

Pada masa yang sama, usaha akan diteruskan untuk mengukuhkan kedudukan pasaran modal Malaysia yang berdaya saing dalam landskap serantau melalui pembaharuan struktur dalam pembinaan keupayaan dan kecekapan pengantaraan.

Sorotan tahun 2008
Pasaran modal Malaysia mengekalkan aktiviti penjanaan dana dalam tahun 2008 di sebalik kemudahubahan dalam pasaran. SC meluluskan 31 tawaran awam awal (IPO) dalam tahun 2008 berbanding 26 pada tahun 2007. Terdapat sejumlah 23 penyenaraian di Bursa Malaysia pada tahun 2008.

Terdapat aliran yang berterusan ke dalam industri pengurusan pelaburan dengan aset yang diuruskan oleh pengurus dana berjumlah RM223.5 bilion pada tahun 2008, dan aliran bersih sebanyak RM21 bilion ke dalam unit amanah. Lapan puluh enam dana baru telah dilancarkan. Nilai bersih aset industri unit amanah kini berjumlah 20.3% permodalan pasaran (15.3% pada tahun 2007).

Pasaran modal Islam kekal menjadi segmen teras pasaran modal Malaysia. Ekuiti patuh Syariah membentuk 64.2% daripada keseluruhan permodalan pasaran pada tahun 2008 (63.7% pada tahun 2007). Nilai sukuk belum tebus meningkat kepada RM211.0 bilion daripada RM199.1 bilion pada tahun 2007.

Penjanaan dana dan pengantaraan yang berkesan
Cadangan SC bagi papan gabungan bertujuan untuk menggabungkan papan utama dan papan kedua dan memposisikan semula MESDAQ sebagai sebuah platform penjanaan modal yang dipacu penaja bagi syarikat-syarikat tempatan dan asing bagi semua sektor. Apabila cadangan tersebut dilaksanakan pada akhir tahun ini, penerbit sekuriti akan mempunyai akses yang lebih luas terhadap pasaran modal, dan pada masa yang sama, terus melindungi kepentingan pelabur melalui standard penzahiran dan tadbir urus korporat yang dipertingkatkan.

Selain itu, pelbagai inisiatif produk juga turut disemak semula termasuklah pengenalan Syarikat-syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) untuk menggalakkan pelaburan ekuiti swasta dan memudahcarakan percantuman dan pemerolehan.

Untuk mewujudkan persekitaran yang lebih memudah cara bagi penerbitan bon dan sukuk, proses anggap lulus kini diperpanjang kepada semua penerbit bertaraf AAA (penarafan mata wang tempatan) atau minimum BBB (penarafan mata wang asing) selepas cadangan mereka dikemukakan sepenuhnya kepada SC.

Industri pengurusan dana Islam pada masa ini merupakan yang terbesar di dunia dari segi bilangan dana dan kedua dari segi aset bawah pengurusan. Kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam telah dipertingkatkan dengan kelulusan yang diberikan kepada lapan penggiat terkemuka bagi menubuhkan operasi mereka di Malaysia. Dari segi pempelbagaian produk, Malaysia melancarkan Dana Dagangan Bursa patuh Syariah yang pertama di rantau ini.

Pematuhan, profesionalisme dan tadbir urus
SC mengukuhkan penyeliaan dan pemantauannya dengan meningkatkan pengawasan terhadap pengantara pasaran dan menjalankan pemeriksaan berfokuskan risiko bagi menilai keberkesanan kawalan mereka. Selain itu, usaha ditumpukan kepada memastikan pematuhan terhadap semua peraturan dan standard tatalaku. Begitu juga, pemantauan PLC dikukuhkan melalui kekerapan urusan dan semakan lebih teliti terhadap pematuhan mereka dengan standard pelaporan kewangan.

Di samping itu, SC mengeluarkan beberapa garis panduan baru mengenai tatalaku etika dan kebertanggungjawaban profesional yang disasarkan kepada meningkatkan disiplin diri dan pasaran dalam kalangan pengawal pasaran, termasuk garis panduan bagi penasihat utama dalam cadangan korporat, dan juga tatalaku pasaran dan amalan perniagaan oleh pengantara pasaran.

Lembaga Pengawasan Audit, yang akan diwujudkan pada tahun ini, akan menggalakkan kerangka kerja pengawasan audit yang cergas bagi Malaysia.

SC terus menjalankan pelbagai tindakan penguatkuasaan apabila berlaku pelanggaran terhadap undang-undang sekuriti. Ini termasuklah pendakwaan jenayah, tindakan sivil dan tindakan pentadbiran.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup