Menteri Kewangan Lanjut Tempoh Pengerusi SC Selama Dua Tahun

Kuala Lumpur, 5 Februari 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan bahawa Menteri Kewangan telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Datuk Ali Abdul Kadir sebagai Pengerusi Eksekutif SC dan Ahli Suruhanjaya untuk selama dua tahun lagi.

Tempoh perkhidmatan pertama Datuk Ali bermula pada 1 Mac 1999 dan akan berakhir pada 28 Februari 2002. Beliau akan memulakan tempoh perkhidmatan keduanya pada 1 Mac 2002.

"Saya amat berbesar hati, dan dengan tenaga kerja yang kuat di Suruhanjaya, akan terus berusaha ke arah menjadikan pasaran modal Malaysia lebih berdaya maju.

"Saya juga berharap mendapat sokongan peserta pasaran dalam meneruskan pencapaian tahap profesionalisme mereka yang lebih tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pasaran modal utama," kata Datuk Ali.

SC telah mencapai beberapa kejayaan penting bawah pimpinan Datuk Ali. Antaranya ialah pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) pada Februari 2001. CMP merupakan satu pelan strategik 10 tahun untuk memastikan pasaran modal Malaysia berkedudukan kukuh dalam menyokong keperluan dan aspirasi perkembangan ekonomi negara. CMP terbentuk daripada beberapa teras yang merupakan langkah-langkah untuk menghadapi persaingan serantau dan peningkatan globalisasi, serta mempergunakan peluang tambahan dalam bidang-bidang yang mempunyai kelebihan komparatif dan berdaya saing.

"CMP telah menyediakan kejelasan strategi yang diharapkan oleh industri dan saya gembira mengatakan bahawa kita telah pun melaksanakan atau mula melaksanakan langkah-langkah dalam beberapa bidang penting. Hakikatnya, beberapa langkah yang diberikan keutamaan telah dilaksanakan sebelum pelancaran CMP," kata Datuk Ali.

Ini termasuk langkah-langkah untuk meningkatkan lagi kecekapan proses penjanaan dana, dan meluaskan bidang peluang pelaburan. Syarikat-syarikat Malaysia juga digalakkan membentuk nilai jangka-panjang bagi pelabur-pelabur mereka. Datuk Ali, terutamanya, telah menekankan keperluan bagi penzahiran dan ketelusan yang lebih baik, serta kebertanggungjawaban korporat yang lebih tinggi kepada pihak pelabur awam. Untuk tujuan ini, beliau ingin terus berusaha untuk meningkatkan pengiktirafan nilai pemegang saham di antara syarikat dan aktivisme pemegang saham di kalangan pelabur, sejajar dengan cadangan-cadangan CMP.

"Tambahan pula, struktur hasil khidmat perantara pasaran sedang dikaji untuk menjadikannya lebih efisien daripada segi kos. Struktur pasaran juga sedang dikaji, dengan usaha kini, ditumpukan kepada penggabungan institusi dan perantara pasaran," kata Datuk Ali.

Untuk terus maju ke hadapan, Datuk Ali berkata bahawa cabaran yang dihadapi oleh pasaran modal adalah untuk meningkatkan peranannya dalam memudahcarakan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Untuk merealisasikan ini, ia mesti menyediakan syarikat-syarikat Malaysia dengan platform yang berdaya maju bagi penjanaan modal, dan menyediakan pelabur dengan sumber yang berdaya maju bagi mengumpul dan melabur simpanan mereka. Ini boleh dicapai melalui visi dan objektif CMP.

Dalam melaksanakan kerjanya untuk tempoh dua tahun yang seterusnya, Datuk Ali telah memberikan kepastian bahawa SC akan terus bersikap tegas dan pada masa yang sama mengadakan perundingan dalam pendekatan pengawalseliaannya. Ia juga akan terus memudahcarakan persaingan dan pembaharuan yang lebih tinggi supaya pasaran modal boleh mengambil kesempatan daripada kekuatan utama Malaysia dengan jayanya.

Sebagai tambahan, beliau akan terus mengekalkan penyertaan aktif SC di peringkat antarabangsa untuk memastikan pandangan Malaysia sentiasa dipertimbangkan dengan teliti oleh masyarakat pengawalseliaan dan kewangan antarabangsa. Datuk Ali kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia-Pasifik (APRC) Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO).

Dilatih sebagai seorang akauntan, Datuk Ali merupakan ahli jawatankuasa pelbagai organisasi dalam dan luar negara. Beliau ialah Pengerusi Majlis Penasihat Pasaran Modal dan ahli Jawatankuasa Pelaburan Asing, Jawatankuasa Selia Danaharta, Yayasan Pelaburan Kewangan dan anggota Kumpulan Kerja Sistem Perbankan dan Kewangan Islam, serta Ekonomi dan Daya Saingan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II). Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Kewangan bagi Tadbir Urus Korporat dan ahli Lembaga Perkhidmatan Kewangan Pesisir Luar Labuan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup