Modul Baru bagi Kursus dan Peperiksaan MFORR Sempena Penubuhan COMMEX Malaysia

Kuala Lumpur, 2 Disember 1998

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) bagi Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Modul 4D untuk Kursus dan Peperiksaan Wakil Berdaftar Niaga Hadapan dan Opsyen Malaysia (MFORR), yang akan merangkumi Peraturan Perniagaan Bursa Komoditi dan Kewangan (COMMEX) Malaysia.

Langkah ini adalah selaras dengan pengumuman baru-baru ini berhubung percantuman di antara COMMEX Malaysia [dahulu dikenali sebagai Bursa Komoditi Kuala Lumpur (KLCE)] dan subsidiarinya, Bursa Kewangan Malaysia (MME) yang dijangka akan berlaku pada 7 Disember 1998. Modul baru ini akan menggantikan Modul 4B MFORR (Peraturan Perniagaan MME) dan Modul 4C (Peraturan Perniagaan KLCE). Peperiksaan pertama bagi COMMEX Malaysia akan diadakan pada 20 Disember 1998.

Wakil-wakil broker niaga hadapan yang telah lulus Kursus Industri Niaga Hadapan atau Modul 4B dan/ atau 4C DAN telah diberikan lesen untuk berurusniaga di MME dan KLCE adalah dikecualikan daripada mengambil Modul 4D. Walau bagaimanapun, mereka diwajibkan menghadiri Program Penyesuaian berhubung Peraturan Perniagaan yang baru yang akan dikendalikan oleh COMMEX Malaysia. Mereka diberi tempoh tiga bulan daripada tarikh percantuman COMMEX Malaysia dan MME untuk menghadiri Program Penyesuaian tersebut. Para Pengarah Eksekutif dan Pegawai Pematuhan juga dikehendaki mengikuti program ini dalam jangkamasa yang diberikan. Sekiranya wakil-wakil broker niaga hadapan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, lesen-lesen urusniaga mereka mungkin akan dibatalkan.

Calon-calon yang telah lulus Peperiksaan MFORR sepenuhnya termasuk Modul 4B dan/ atau 4C tetapi masih belum diberi lesen sebagai wakil broker niaga hadapan, serta calon-calon yang belum menduduki keseluruhan Peperiksaan MFORR tetapi telah lulus Modul 4B dan/ atau 4C, juga akan dikecualikan daripada mengambil Modul 4D melainkan sekiranya mereka telah mengikuti program tersebut. Mana-mana calon yang gagal berbuat demikian dikehendaki menduduki peperiksaan Modul 4D bagi melayakkan mereka membuat permohonan untuk mendapat lesen untuk berurusniaga di COMMEX Malaysia.

Untuk keterangan lanjut mengenai Program Penyesuaian, sila hubungi Jabatan Pendidikan dan Penyelidikan COMMEX Malaysia menerusi no. tel. 603-293 6822. Sebarang pertanyaan mengenai Modul 4D serta Kursus dan Peperiksaan MFORR haruslah ditujukan kepada Pusat Peperiksaan SIDC menerusi no. tel 603-469 2285.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan, sila hubungi no. tel. 603-2507550 (Nafizah) atau 603-2597164 (Karen De Cruz) atau no. faks 603-2536184.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup