MyCIF Labur Bersama Sebanyak RM638 Juta ke dalam 3,635 PMKS melalui ECF dan P2P

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 12 Jun 2023

Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF), yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan pelaburan bersama (co-investment), terus menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam usahanya untuk menggalakkan akses lebih besar kepada pasaran modal dan keterangkuman dalam segmen yang kurang mendapat perkhidmatan.

Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini, MyCIF menyatakan bahawa jumlah dana yang diperoleh daripada pendanaan ramai berasaskan ekuiti (equity crowdfunding, ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (peer-to-peer financing, P2P) meningkat sebanyak RM300 juta kepada RM1.7 bilion daripada 2021.

Pertumbuhan 26% tahun ke tahun ini menunjukkan bahawa minat pelabur dan perniagaan yang semakin meningkat terhadap pasaran pembiayaan alternatif.

Daripada jumlah itu, MyCIF melabur bersama sebanyak RM282 juta berbanding RM193 juta pada 2021. Ini mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam pasaran ECF dan pembiayaan P2P.

Model pelaburan bersama MyCIF melalui platform pembiayaan alternatif adalah yang pertama seumpamanya ditubuhkan di Asia Tenggara oleh MoF dalam Bajet 2019.

MyCIF juga berjaya mencapai lebih banyak perusahaan dalam segmen yang kurang mendapat perkhidmatan (underserved) pada 2022. Pada tahun tersebut, MyCIF telah melancarkan initiatif khas untuk melabur dalam perusahaan yang berteraskan pertanian pada nisbah 1:2.

Hasilnya, perusahaan pertanian yang meraih dana dalam platform ECF dan P2P melonjak hampir empat kali ganda. Tambahan, 28% daripada dana MyCIF telah disalurkan ke kawasan luar Lembah Klang, peningkatan daripada hanya 21% pada 2021.

“MyCIF telah terbukti memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan pendanaan ECF dan pembiayaan P2P,” kata Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin. “Kira-kira 10 kali lebih banyak firma telah mengumpul dana melalui platform ECF dan P2P sejak penubuhan MyCIF.”

Menjelang 2022, sejumlah RM638 juta* telah dilaburkan bersama dalam hampir 35,000 kempen pembiayaan ECF dan P2P, yang memanfaatkan kira-kira 3,635 PMKS di Malaysia.

Sejak penubuhannya, MyCIF telah menjana pulangan bersih positif ke atas modal sebanyak RM16.5 juta. Sehingga akhir 2022, ia telah menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM230 juta, dengan tambahan RM40 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023.

Memasuki tahun 2023, MyCIF akan menggalakkan lebih banyak inovasi dalam bidang yang telah dikenal pasti sebagai bidang strategik kepada ekonomi Malaysia.

Ini akan dilakukan dengan meneruskan inisiatif sedia ada untuk perniagaan pertanian, serta memperluaskan nisbah pelaburan bersama khas 1:2 yang serupa kepada sektor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ini juga selaras dengan agenda pembangunan mampan negara, yang bertujuan untuk menyokong peralihan sektor pertanian kepada sektor yang dinamik dan progresif, dan inovasi dalam sektor ESG dan kemampanan.

Laporan Tahunan MyCIF juga menggariskan komitmennya terhadap tadbir urus yang baik di samping menggalakkan ketelusan dalam penggunaan dana awam dan mengenal pasti mereka yang telah mendapat manfaat daripadanya.

Laporan Tahunan, serta butiran lanjut mengenai MyCIF, boleh didapati di https://www.sc.com.my/mycif.

*Amaun lebih besar daripada peruntukan yang diberikan sebanyak RM230 juta disebabkan pelaburan semula berterusan nota P2P, faedah FD dan dividen ECF

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup