MyCIF melabur bersama sebanyak RM165 juta yang memanfaatkan lebih 1,000 PMKS
26 April 2021  |   Kuala Lumpur

Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) telah melabur sebanyak RM165 juta* dalam 5,349 kempen pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), yang memberi manfaat kepada 1,197 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia sehingga penghujung 2020. Sejak penubuhannya pada Oktober 2019, pelaburan bersama ini telah diagihkan dengan pelaburan sektor swasta yang berjumlah RM431 juta.
MyCIF, sebuah dana yang ditadbir oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi pihak Kementerian Kewangan (MOF), turut menghasilkan pulangan modal positif yang positif setakat penghujung tahun 2020. SC melaporkan aktiviti dan prestasi dana tersebut sehingga penghujung Disember 2020 dalam laporan tahunan pertama MyCIF, yang dikeluarkan pada hari ini.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, "SC menyokong dan menggalakkan inovasi kewangan digital baharu dan MyCIF telah berjaya membantu syarikat peringkat permulaan dan PMKS untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka dalam tempoh pemulihan ekonomi pasca wabak yang mencabar ini."

"MyCIF meningkatkan kecairan Pasaran ECF dan P2P untuk menyediakan pembiayaan kepada segmen ekonomi Malaysia yang kritikal ini, dan pada masa yang sama, kepada khalayak dalam kumpulan pelabur yang lebih besar. Ini telah membantu PMKS mendapatkan dana dan menggunakannya dengan segera untuk keperluan perniagaan mereka.”

MyCIF ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2019 dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta untuk melabur dalam PMKS bersama pelabur swasta melalui platform ECF dan P2P. Seterusnya, MyCIF telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2020, di mana tambahan sebanyak RM10 juta adalah khusus untuk perusahaan sosial.

Pengumuman Laporan Tahunan tersebut mencerminkan komitmen MyCIF terhadap tadbir urus yang baik, dan komitmennya untuk menggalakkan ketelusan dalam penggunaan dana awam dan identiti penerima dana tersebut.

Laporan Tahunan MyCIF, serta butiran skim tersebut boleh didapati di laman web SC

*Jumlah ini adalah lebih besar daripada peruntukan sebanyak RM100 juta yang diberikan disebabkan oleh pelaburan semula yang berterusan nota-nota, faedah deposit tetap P2P dan dividen ECF.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup