Negara D-8 Kongsi Pengalaman Malaysia dalam Pembangunan dan Pengawalseliaan Pasaran Modal

Kuala Lumpur, 11 Oktober 2000

Sekumpulan perwakilan dari lapan negara Membangun (D-8) berada di Kuala Lumpur bagi lawatan belajar lima hari untuk mempelajari pengalaman Malaysia dalam membangun dan mengawal selia pasaran modalnya.

Program bertajuk "Pasaran Modal Malaysia": Pembangunan dan Pengawalseliaan" bermula pada 9 Oktober 2000 dan dianjurkan oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), bahagian latihan dan pendidikan Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia.

Objektif program latihan tersebut adalah bagi memberikan satu gambaran luas mengenai pasaran modal Malaysia, dengan tumpuan khas diberikan kepada rangka kerja pengawalseliaan dan pengawasan, usaha-usaha pembangunan pasaran, arah aliran, cabaran dan peluang globalisasi dan perdagangan elektronik.

Negara-negara yang terlibat juga dijangka dapat berkongsi pengalaman Malaysia dalam inisiatif latihan dan pendidikan, yang merupakan komponen utama usaha meningkatkan standard kecekapan, kemahiran dan profesionalisme pengawal selia, perantara pasaran dan para pelabur.

Program latihan juga termasuk lawatan ke bursa-bursa (Bursa Saham Kuala Lumpur - BSKL, Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia - MESDAQ, Bursa Opsyen dan Niaga Hadapan Kewangan Kuala Lumpur - KLOFFE, Bursa Komoditi dan Kewangan Malaysia - COMMEX), rumah penjelasan ekuiti (Securities Clearing Automated Network Services - SCANS) dan depositori pusat (Depositori Pusat Malaysia - MCD).

Program latihan tersebut adalah sehaluan dengan komitmen negara D-8 untuk bekerja sama, berunding dan menyelaras di antara mereka dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh negara membangun. Komitmen ini telah dibuat di bawah Pengisytiharan Istanbul, di mesyuarat Kemuncak D-8 yang pertama di Turki pada 1997. Dalam pengisytiharan ini, negara-negara anggota bersetuju untuk mengetuai sejumlah bidang di mana kerja sama dapat dilaksanakan. Bidang bagi Malaysia merangkumi kewangan, perbankan dan penswastaan. Tujuh negara anggota lain bertanggung jawab ke atas bidang-bidang berikut: pembangunan luar Bandar (Bangladesh), perdagangan (Mesir), sumber manusia (Indonesia), telekomunikasi (Iran), tenaga (Nigeria), pertanian (Pakistan), dan kerjasama perindustrian (Turki).

Ini merupakan kali ketiga program latihan bagi negara D-8 diadakan di Malaysia. Program pertama pada 1998 dianjurkan oleh Kementerian Kewangan dan pada 1999 oleh Bank Negara Malaysia. Unit Perancang Ekonomi dijangka akan menganjurkan program ini bagi tahun hadapan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup