Kuala Lumpur, 27 Mac 2007
Bank Negara Malaysia bersama-sama Suruhanjaya Sekuriti hari ini mengeluarkan Nota Maklumat Bersama berkaitan rangka kerja pemudahan pengawalseliaan bagi terbitan bon dan sukuk dalam denominasi mata wang asing di Malaysia.
Nota Maklumat Bersama ini menggariskan prosedur bagi terbitan bon dan sukuk dalam denominasi mata wang asing oleh penerbit berkelayakan. Antara penerbit berkelayakan termasuk Kerajaan Malaysia, kerajaan asing, bank pembangunan pelbagai hala, institusi kewangan pelbagai hala, agensi atau syarikat nasional Kerajaan Malaysia atau kerajaan asing, syarikat multinasional asing dan syarikat pemastautin.
Fleksibiliti khusus diberikan di bawah Nota Amalan 1A Suruhanjaya Sekuriti bagi mempercepat terbitan bon (Practice Note 1A on Issuance of Foreign Currency-Denominated Bonds Malaysia) dan sukuk (Practice Note 1A on Issuance of Foreign Currency-Denominated Islamic Securities or Sukuk in Malaysia) dalam denominasi mata wang asing. Di bawah proses kelulusan pemudahan ini, permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti oleh penerbit yang mempunyai penarafan kredit sekurang-kurangnya ‘A-‘ tunggal akan dianggap lulus apabila dokumen yang ditetapkan dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti sekurang-kurangnya dua hari bekerja sebelum bon atau sukuk tersebut diterbitkan. Di samping itu, penarafan kredit antarabangsa juga akan diterima. Dokumentasi perundangan antarabangsa yang ditadbir di bawah undang-undang England atau Amerika Syarikat juga akan dibenarkan. Di bawah rangka kerja pemudahan pengawalseliaan, penerbit pemastautin dan bukan pemastautin bebas menggunakan perolehan daripada terbitan dalam negeri dan luar pesisir. Penerbit juga bebas melindung nilai keseluruhan komitmen asas mereka.
Pelabur bukan pemastautin bebas untuk melabur di dalam bon dan sukuk dalam denominasi mata wang asing yang diterbitkan di Malaysia. Mereka juga bebas untuk menghantar balik modal, keuntungan dan pendapatan yang diperoleh dari Malaysia, termasuk sebarang kupon atau keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan mereka tanpa dikenakan sebarang sekatan. Pelaburan oleh pelabur pemastautin hendaklah berpandukan dasar pentadbiran pertukaran asing semasa. Pelabur pemastautin dan bukan pemastautin juga bebas untuk melindung nilai keseluruhan komitmen asas mereka. Pelabur pemastautin dikecualikan daripada pembayaran cukai pendapatan atas keuntungan yang diterima daripada pelaburan dalam sukuk dalam denominasi mata wang asing di Malaysia. Di samping itu, keuntungan atau pendapatan atas pelaburan bukan pemastautin dalam sukuk berdenominasi mata wang asing yang diterbitkan di Malaysia juga dikecualikan sepenuhnya daripada cukai pegangan.
Bon dan sukuk dalam denominasi mata wang asing perlu diterbitkan berasaskan tanpa skrip melalui Sistem Terbitan/Penawaran Automatik Sepenuhnya. Ia juga perlu didepositkan dengan Sistem Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS) dengan Bank Negara Malaysia sebagai agensi Depositori Pusat dan Insitusi Depositori Dibenarkan sebagai Subdepositori.
Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada Nota Maklumat Bersama dalam laman web Bank Negara Malaysia di http://www.bnm.gov.my dan Suruhanjaya Sekuriti di sini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA & BANK NEGARA MALAYSIA