Para Pengawal Selia Pasaran Modal Lancar Piawaian Bon Hijau ASEAN bagi Memacu Pelaburan Mampan
8 November 2017   |   Kuala Lumpur
Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) hari ini mengadakan Persidangan Pasaran Modal ASEAN yang pertama di Kuala Lumpur, Malaysia.
Bertemakan "Memperkukuh Keterhubungan Pasaran Modal ASEAN", persidangan tersebut dihadiri lebih 300 peserta dari rantau ini, yang terdiri daripada penerbit, pelabur, pengantara, pengawal selia dan pakar dari institusi seperti Bank Pembangunan Asia, Bank Pelaburan Infrastruktur Asia, Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA) dan Bank Dunia.

Sesi panel di Persidangan itu membincangkan topiK-topik yang bertumpu kepada pertumbuhan dan peluang di rantau ini termasuk infrastruktur dan pembiayaan hijau, tadbir urus korporat dan dinamik pasaran yang berubah-ubah dalam era pendigitan.

Pelancaran Piawaian Bon Hijau ASEAN (AGBS) diadakan bersempena persidangan tersebut. AGBS telah dibangunkan berdasarkan Prinsip-Prinsip Bon Hijau (GBP) ICMA yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan dan komitmen ASEAN. Label AGBS hanya akan diguna pakai oleh para penerbit dan projek di rantau ini, dan secara khusus tidak termasuk projek berkaitan bahan api fosil.

Satu kajian bersama baru-baru ini oleh Bank Dunia dan ACMF telah mengesahkan potensi besar bagi pembiayaan hijau di ASEAN di mana terbitan bon hijau global dijangka meningkat kepada US$1 trilion menjelang 2020.

Ranjit Ajit Singh, Pengerusi ACMF, berkata "ASEAN mesti berkembang secara bertanggungjawab dan mampan. Pertumbuhan tidak akan tercapai dengan memudaratkan generasi masa hadapan kita. Kita perlu menyokong usaha-usaha untuk melindungi alam sekitar dan Piawaian Bon Hijau ASEAN akan membantu dalam memperuntukkan sumber ke arah pelaburan yang mesra alam. Sukacita saya juga mengumumkan bahawa SEC Filipina telah memberi komitmen untuk menandatangan MoU ASEAN mengenai Skim Pelaburan Kolektif (CIS), menyertai Singapura, Malaysia dan Thailand"

“Pada masa yang sama, dalam Mesyuarat ACMF ke-27 kelmarin, ACMF juga bersetuju untuk memudahcarakan lebih banyak mobiliti para profesional pasaran modal. Inisiatif ini akan membuka ruang yang membolehkan para profesional yang dilesenkan oleh ahli ACMF menyediakan perkhidmatan tertentu dalam kalangan bidang kuasa terbabit tanpa perlu memenuhi keperluan-keperluan tambahan,” Ranjit menambah.

Martin Scheck, Ketua Eksekutif ICMA, mengulas, "Kami mengalu-alukan penjajaran AGBS dan GBP, yang menggambarkan sebuah garis panduan sukarela di peringkat antarabangsa yang mencadangkan ketelusan dan penzahiran, dan menggalakkan integriti dalam pasaran bon hijau. Tahniah di atas inisiatif unggul ACMF ini untuk memperkenalkan AGBS, dan menggalakkan pembangunan Bon Hijau ASEAN serta keserasiannya dengan pasaran antarabangsa."

ACMF kekal komited untuk meningkatkan keterhubungan ASEAN dan memudahcara pembangunan penyelesaian pasaran dengan mengadakan pembabitan dan kerjasama dengan pihak industri dan pihak berkepentingan melalui dialog. Ia juga akan meningkatkan interaksinya bersama Panel Perundingan Industri yang ditubuhkan untuk mengumpulkan input industri ke dalam cadangannya.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Ooops!
Generic Popup