Pasaran modal berkembang 10.5% kepada RM2.7 trilion; berdaya tahan di tengah-tengah turun naik global
12 Mac 2014   |   Kuala Lumpur
Pasaran modal Malaysia berkembang sebanyak 10.5% kepada RM2.7 trilion pada 2013, demikian menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sempena pengumuman Laporan Tahunan 2013-nya hari ini. Segmen pasaran utama merekodkan pertumbuhan yang berterusan berlatarkan asas domestik yang teguh. Pasaran juga kekal berdaya tahan walaupun adanya turun naik yang mempengaruhi pasaran pesat membangun secara global.

Pasaran bon mengakhiri tahun tersebut pada RM1.0 trilion dan mengekalkan kedudukannya sebagai yang ketiga terbesar di Asia berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Permodalan pasaran ekuiti berkembang kepada RM1.7 trilion dengan indeks tanda aras meningkat 10.5%, menjadikannya sebagai salah satu pasaran berprestasi terbaik di Asia. Perolehan ketara turut dicatatkan oleh indeks permodalan kecil domestik (+36.7%) berikutan peningkatan penyertaan oleh dana institusi dan minat pelabur runcit yang semakin meningkat.

Pasaran modal terus menjadi sumber utama pembiayaan dengan RM94 bilion dijana melalui bon korporat dan tawaran awam awal (IPO). Penerbitan bon merangkumi 91% daripada pembiayaan yang dijana. Keluasan dan kedalaman pasaran modal disokong oleh tempoh penjanaan modal paling kukuh yang direkodkan dengan sejumlah RM240 bilion dijana sepanjang dua tahun lalu.

Industri pengurusan dana terus memainkan peranan penting dalam menggerakkan simpanan domestik, dengan aset bawah pengurusan (AUM) berkembang 16.5% kepada RM588 bilion. Dana unit amanah terus menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan dalam AUM, dengan nilai aset bersih (NAV) meningkat kepada RM336 bilion, bersamaan dengan satu-perlima daripada permodalan pasaran saham.

Mewujudkan peluang yang lebih besar bagi pengantarabangsaan pasaran modal Islam

Pasaran modal Islam berkembang 8.8% kepada RM1.5 trilion, dengan aset patuh Syariah merangkumi 56% daripada keseluruhan pasaran modal. Malaysia mengekalkan peranan kepimpinannya sebagai pasaran sukuk terbesar dunia dengan 69% terbitan sukuk global pada 2013. Kaedah penyaringan Syariah yang disemak semula bagi ekuiti tersenarai dilaksanakan pada bulan November 2013 bagi meningkatkan lagi daya tarikan segmen ekuiti Islam dan pengurusan dana Malaysia kepada pelabur antarabangsa.
Satu memorandum persefahaman telah ditandatangani Autoriti Monetari Brunei Darussalam dan perbincangan mengenai kerjasama dua hala telah pun dimulakan dengan Arab Saudi bagi menggalakkan, antara lain, aktiviti rentas sempadan dan kerjasama yang lebih besar dalam pasaran modal Islam. Inisiatif ini terus mengukuhkan lagi perjanjian yang sedia ada dengan Hong Kong dan Dubai.

Selanjutnya, SC bekerjasama dengan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) Lausanne yang tersohor dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) yang berprestij, ke arah menggalakkan kepimpinan pemikir dalam kewangan Islam. Ini menjurus kepada penerbitan kajian kes ke atas penerbitan sukuk dengan IMD dan wacana intensif terhadap pendekatan berasaskan Syariah yang menyeluruh serta penyelidikan mengenai pengharmonian peraturan Syariah bersama OCIS.

Menjaga keyakinan dalam integriti pasaran modal

Memperakui kerumitan pasaran yang semakin meningkat dan keperluan lebih banyak campur tangan pengawalseliaan yang tepat pada masanya, SC melaksanakan langkah-langkah bagi mengukuhkan lagi kebolehan penyeliaan dan penguatkuasaannya.

Pengurusan risiko sistemik dipertingkatkan melalui pengoperasian Unit Risiko Pakar Penyeliaan Unit (SSR), penggunaan kaedah ujian tekanan yang dibangunkan dengan kerjasama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), serta pengukuhan kerangka kerja pemantauan kami bagi institusi-institusi penting dari segi sistemik.

Sejumlah 44 pemeriksaan dan pembabitan telah dijalankan untuk mengesan bidang bagi penambahbaikan di bawah pendekatan SC berasaskan risiko terhadap pengawasan pengantara. Hasilnya, pengantara pasaran terus mempunyai modal yang baik, dengan sikap berhemat dan standard tatalaku yang diperkukuh melalui penambahbaikan terhadap pengoperasian, pengurusan risiko dan standard pematuhan mereka.

Usaha penguatkuasaan SC memainkan peranan penting dalam menjaga integriti dan keyakinan pasaran, dan pada 2013, instrumen penguatkuasaan yang meluas, termasuk pendakwaan jenayah, tindakan sivil dan sanksi pentadbiran, dipergunakan terhadap pelbagai pelanggaran undang-undang sekuriti.

Sebanyak 34 pendakwaan jenayah difailkan ke atas enam individu, lima daripadanya ialah pengarah dalam syarikat awam tersenarai, bagi kesalahan yang berkaitan dengan pelaporan kewangan palsu. Ini menunjukkan ketegasan SC bagi pelanggaran undang-undang sekuriti yang serius.

SC juga memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi terhadap sebuah syarikat pengurusan aset berlesen bagi menuntut RM13.3 juta kerugian yang ditanggung oleh 63 pelabur. Penyelesaian pengawalseliaan telah dimeterai dengan SC apabila notis dikeluarkan untuk memulakan tindakan undang-undang bagi kesalahan dagangan orang dalam dan manipulasi pasaran. Penyelesaian ini melebihi RM2.7 juta, dengan langkah diambil bagi menyediakan restitusi kepada pelabur yang terlibat.

Selain itu, SC mengenakan empat tindakan pentadbiran ke atas pengantara berlesen serta seorang pemegang amanah bon kerana kegagalan mereka mematuhi tanggungjawab pengawalseliaan mereka. Sejumlah RM1.35 juta dalam penalti dikumpulkan melalui tindakan tersebut dan 70 notis pelanggaran dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan melanggar undang-undang sekuriti dan garis panduan.

Usaha penguatkuasaan rentas sempadan SC membawa menjurus kepada 24 permintaan untuk mendapatkan maklumat daripada rakan kawal selia antarabangsa kami. Sebaliknya, SC menerima 11 permintaan bagi mendapatkan bantuan. Permintaan tersebut adalah selaras dengan pengaturan yang terdapat dalam Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO).

Melindungi dan memperkasa pelabur

Komitmen SC terhadap perlindungan dan memperkasa pelabur meletakkan Malaysia secara konsisten di tempat keempat di dunia bagi perlindungan pelabur oleh `Doing Business Report’ Bank Dunia.

SC mendekati lebih daripada 8.4 juta pelabur dan bakal pelabur di seluruh Malaysia melalui pendidikan pelabur dan aktiviti bersama pelabur seperti jerayawara “Bersama SC” dan Kempen Pelabur Bijak Kebangsaan. Pelancaran aplikasi mudah alih interaktif “SC Assists” yang memberi maklumat umum mengenai pelaburan di pasaran modal, memberikan satu lagi platform untuk pembabitan dengan pelabur runcit.

Pelaksanaan Guidelines on Sales Practices of Unlisted Capital Market Products (Garis panduan Amalan Jualan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai) pada bulan Mac 2013 memberikan pelabur perlindungan yang lebih besar dengan menetapkan supaya pengantara pasaran mengambil kira kepentingan pelabur melalui kitaran hayat sesuatu produk.

Para pelabur juga diberikan saluran tambahan bagi menebus kerugian mereka berikutan dengan pengoperasian Dana Pampasan Pasaran Modal (CMCF), yang melengkapi Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) sedia ada dan mekanisme penyelesaian pertikaian pengantara itu sendiri.

Memperluas akses pasaran

Bagi memperluas akses terhadap pasaran modal kepada pelbagai jenis pelabur, penerbit sekuriti dan pengantara pasaran, SC melaksanakan pelbagai langkah yang termasuklah memperkenalkan produk-produk dan kelas aset yang baru, serta saluran alternatif untuk menyertai industri perkhidmatan kewangan.

Penyenaraian sukuk runcit pertama telah diterima baik oleh orang ramai, dengan penerbitnya DanaInfra memperkenalkan penerbitan kedua dalam tahun yang sama. Skim Persaraan Swasta (PRS) turut mencatatkan permulaan yang menggalakkan, dengan nilai aset bersih (NAV) mencapai RM300 juta dan 64,710 pencarum PRS menjelang akhir tahun 2013. Program insentif belia PRS yang diumumkan dalam Bajet 2014 dijangka akan menggalakkan kadar penyertaan golongan muda kepada 10%.
Memandangkan peningkatan unjuran dalam akses dan pertumbuhan pasaran, Adalah penting diwujudkan inisiatif bagi mengembangkan lagi skop dan kecekapan aktiviti pengantaraan. Oleh itu, Program Wakil Peniaga Siswazah (GRP1000) dilancarkan bagi melatih 1,000 siswazah dengan matlamat menarik minat golongan profesional yang berkelayakan untuk menyertai industri perkhidmatan pasaran modal di Malaysia.

Melangkah ke hadapan

Pada 2014, agenda pengawalseliaan SC akan memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan dan mengurangkan masa ke pasaran, mengukuhkan lagi kawal selia dan pengawasan terhadap institusi pasaran serta memudahcarakan akses pasaran.

SC dan pengawal selia serantau akan bekerjasama bagi melaksanakan kerangka kerja Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) bagi penawaran rentas sempadan skim pelaburan kolektif dalam suku tahun pertama 2014. SC akan juga memudahcarakan lebih banyak penerbitan bon dan sukuk rentas sempadan dan dalam pelbagai mata wang, serta menilai produk pendapatan tetap baharu yang berpotensi seperti bon hasil tinggi dalam usaha untuk memperluas spektrum kredit kelas aset yang boleh labur.

Memanfaatkan segmen pengurusan dana Islam Malaysia yang penting, SC akan terus bekerja dengan industri untuk membina keupayaan dan meningkatkan hubungan rentas sempadan. Garis panduan Sukuk SR-i akan juga diperkenalkan tahun ini bagi memudahcarakan pembiayaan patuh Syariah dan pelaburan dalam perniagaan yang mempunyai tanggungjawab sosial.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup