Pasaran Modal Kekal Teguh dengan Minat yang Kukuh terhadap IPO

Kuala Lumpur, 16 Oktober 2008

Di tengah-tengah persekitaran kewangan global yang turun naik kini, pasaran modal Malaysia terus menarik minat dalam tawaran awam awal (IPO). Pengeluaran kad skor Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini bagi suku tahun ketiga tahun ini menunjukkan bahawa terdapat bilangan signifikan IPO yang telah pun diluluskan untuk disenaraikan di pasaran modal.

Bilangan IPO baru yang diluluskan oleh SC sehingga akhir September 2008 meningkat kepada 29, termasuk penambahan 11 IPO baru yang diluluskan pada suku tahun terkini. Secara perbandingan, terdapat 26 IPO yang diluluskan bagi keseluruhan tahun 2007.

Suku tahun ketiga juga memperlihatkan peningkatan dalam bilangan syarikat-syarikat agak besar yang mahukan penyenaraian, sebagaimana yang ditunjukkan dalam lonjakan angka syarikat-syarikat yang layak ke Papan Utama, yang diluluskan setakat ini.

Lima daripada 11 IPO baru yang diluluskan adalah untuk Papan Utama, tiga untuk Papan Kedua, dan tiga lagi adalah untuk Pasaran MESDAQ. Sebelas IPO baru ini meliputi pelbagai jenis sektor termasuk minyak & gas, perkhidmatan dan pembinaan/kejuruteraan.

Keseluruhannya, daripada 29 penyerahan IPO yang diluluskan sehingga akhir September 2008, 13 adalah syarikat Papan Utama berbanding sembilan dalam tahun 2007. Lebih penting lagi, enam daripada 13 IPO Papan Utama yang diluluskan, adalah syarikat bermodal besar dengan sekurang-kurangnya modal pasaran sebanyak RM500 juta.

“Kami melihat minat yang lebih besar di kalangan syarikat-syarikat yang lebih besar terhadap pasaran modal bagi menjana dana walaupun ketidaktentuan global mungkin mempunyai kesan terhadap pengaturan masa dan penyenaraian baru. Pada asasnya, pasaran modal kekal kukuh dan telah menunjukkan kebolehan untuk menghadapi tekanan dan naik turun kini yang memberi kesan kepada pasaran lain,” kata Pengerusi SC Dato’ Zarinah Anwar.

“Kami mempunyai kerangka kerja pengawalseliaan yang kukuh dengan standard tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan tatalaku pasaran yang diukur rujuk dengan standard antarabangsa. Semua pengantara pasaran kami cukup terlatih dan kadar ketelitian kekal mengatasi keperluan pengawalseliaan,” tambah Dato’ Zarinah.

Suku tahun ketiga juga memperlihatkan peningkatan sebanyak 50% dalam bilangan pemindahan yang diluluskan ke Papan Utama, sehingga enam daripada empat dalam suku tahun sebelumnya. Empat daripada enam pemindahan ke atas yang diluluskan dalam suku tahun ini adalah syarikat-syarikat di Papan Kedua.

SC mengekalkan standard prestasinya yang kukuh dengan 98 peratus permohonan pelesenan dan 92 peratus cadangan korporat diproses dalam piagam masa. Sejumlah 2,747 permohonan diterima bagi lesen baru dan pembaharuan lesen dalam suku tahun ketiga 2008.

Statistik pasaran modal yang dikeluarkan oleh SC meliputi maklumat mengenai pemprosesan, kelulusan dan penolakan penyerahan, termasuk pengaturan masa dan alasan. Selain petunjuk kad skor ini, statistik penyerahan suku tahunan yang diluluskan oleh SC bagi suku tahun ketiga 2008 juga turut dilaporkan.

Siri penuh statistik pasaran modal yang dikeluarkan oleh SC adalah seperti di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup