Pasaran Modal Malaysia Berkembang kepada RM2.76 Trilion Pada tahun 2014
5 Mac 2015   |   Kuala Lumpur
RM91.9 bilion dikumpulkan melalui sekuriti hutang swasta dan tawaran awam awal
Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM2.76 trilion pada tahun 2014, bersamaan 2.6 kali saiz ekonomi Malaysia dan kekal berdaya tahan dalam persekitaran ketaktentuan global, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sempena pengumuman laporan tahunannya.

Pasaran modal terus menjadi sumber pembiayaan penting bagi ekonomi, yang mana RM91.9 bilion telah dikumpulkan melalui tawaran awam awal dan sekuriti hutang swasta (PDS). Penjanaan modal melebihi RM90 bilion bagi tiga tahun berturut-turut, menunjukkan keluasan kapasiti pasaran modal bagi memenuhi keperluan pembiayaan ekonomi sebenar Malaysia.

Malaysia mengukuhkan kepimpinan globalnya dalam pasaran modal Islam, dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 12% sepanjang lima tahun yang lalu kepada RM1.59 trilion pada tahun 2014, iaitu sebanyak 58% daripada keseluruhan pasaran modal. Pada penghujung tahun 2014, 74% syarikat tersenarai Malaysia diklasifikasikan sebagai patuh Syariah dengan permodalan pasaran melebihi RM1 trilion. Malaysia juga mengekalkan kedudukan sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, iaitu 66% daripada penerbitan sukuk global.
Pengurusan dana terus merupakan segmen pasaran paling pesat berkembang dengan aset bawah pengurusan (AUM) mencapai tahap melebihi 600 bilion ringgit buat kali pertama iaitu sebanyak RM630 bilion (+ 7.1%) menjelang akhir tahun. AUM Islam meningkat kepada RM111 bilion daripada RM98 bilion pada tahun 2013, mencerminkan keupayaan industri untuk berkembang dalam persekitaran pasaran modal Islam Malaysia yang dimudahcarakan.

Pertumbuhan ini didorong oleh pengembangan saluran untuk pelaburan terurus, dengan nilai aset bersih industri unit amanah meningkat kepada RM343 bilion - yang terbesar di Asia Tenggara. Segmen baru yang berkembang, Skim Persaraan Swasta (PRS), yang AUM-nya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM716.1 juta dan keahliannya kini sebanyak 128,977, membentuk tunggak ketiga rangka kerja pencen Malaysia dan bersedia untuk menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan industri pengurusan pelaburan pada masa hadapan.

Pengoperasian Rangka Kerja ASEAN bagi Penawaran Rentas Sempadan bagi Skim Pelaburan Kolektif juga membolehkan pelabur dan penyedia dana Malaysia akses yang lebih luas kepada peluang pelaburan di rantau ASEAN dan menjadi satu lagi pemacu pertumbuhan.

Menggalakkan pasaran yang adil dan cekap

Pada tahun 2014, SC telah memulakan fasa pertama kajian semula pengawalseliaan yang komprehensif untuk meningkatkan kecekapan dan menggalakkan lebih persaingan dalam pasaran modal. Pakej pembaharuan pertama daripada kajian tersebut terdiri daripada rombakan rangka kerja pasaran borong, termasuk liberalisasi bon korporat dan kelulusan produk borong melalui rangka kerja Kemuka dan Lancar (LOLA) yang akan dilancarkan oleh SC, serta semakan kepada sistem pelesenan yang mewujudkan kelas baru peserta pasaran seperti pengurus dana khidmat khusus dan pengendali pasaran alternatif. Pada masa yang sama, perlindungan pelabur telah dipertingkatkan melalui pindaan dalam aspek pengawalseliaan seperti penzahiran dan, pengambilalihan dan percantuman.

Bagi memupuk budaya pematuhan dan membolehkan pengesanan awal risiko sistemik, SC telah meluaskan lagi perimeter aktiviti pengawasan pasaran dan mengukuhkan rangka kerja sedia ada terhadap juruaudit dan syarikat-syarikat awam tersenarai (PLC). Kerja pengawasan tersebut memberi tumpuan kepada tadbir urus institusi pasaran dan tatalaku pengantara dan serta keupayaan mereka untuk menguruskan risiko yang timbul daripada ancaman terhadap keselamatan siber dan pembiayaan aktiviti haram.

Untuk memelihara integriti pasaran dan mencegah salah laku, SC terus menggunakan kuasa penguatkuasaan penuhnya terhadap mereka yang melakukan pelanggaran undang-undang sekuriti dan ketakpatuhan kawal selia. Dalam menekankan ketegasan terhadap apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan pasaran, SC memfailkan 63 pertuduhan jenayah terhadap dua pengarah PLC, seorang ketua pegawai eksekutif dan seorang remisier atas kesalahan dagangan orang dalam, sementara Mahkamah Tinggi juga mengesahkan sabitan dan hukuman penjara ke atas dua bekas pengarah PLC kerana manipulasi pasaran.

Menggalakkan penyertaan pelabur aktif dan bermaklumat

Penguatkuasaan disiplin pengawalseliaan pasaran modal telah dilengkapi dengan usaha SC untuk mengukuhkan penggerak disiplin diri dan pasaran melalui tadbir urus korporat. Pelancaran Kod Pelabur Institusi Malaysia - yang pertama di Asia Tenggara dan kedua di Asia dan juga pasaran pesat membangun - menandakan titik perubahan bagi usaha aktivisme pelabur di negara ini dengan pihak yang terlibat berikrar secara sukarela untuk memanfaatkan pengaruh mereka dalam mengukuhkan budaya tadbir urus syarikat yang menerima pelaburan dan ekosistem pasaran modal.

Usaha berterusan SC untuk mengukuhkan tadbir urus korporat di Malaysia, termasuk menggalakkan lebih kepelbagaian dalam lembaga pengarah syarikat dan meninggikan profil syarikat-syarikat yang ditadbir dengan baik antara lain, melalui Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN, telah diketengahkan dalam beberapa penilaian antarabangsa baru-baru ini, yang mana ACGA-CLSA CG Watch 2014 telah memberi penghargaan kepada Malaysia sebagai salah satu pasaran yang telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam tadbir urus korporat.

Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan pelabur runcit yang lebih bermaklumat, SC melancarkan kempen pendidikan dan capaian BijakLabur™ yang terdiri daripada pelbagai program yang sesuai untuk melibatkan pelabur di seluruh Malaysia melalui pelbagai platform. Dengan menghubungkan pelabur dengan platform seperti Facebook, Twitter dan aplikasi mudah alih, sebagai tambahan kepada jerayawara dan bengkel, SC berhasrat untuk memperluaskan capaiannya dalam segenap lapisan masyarakat pelabur, terutamanya golongan muda dan yang lebih celik teknologi.

Memperluaskan peluang pelaburan

Usaha pembangunan pada tahun 2014 memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keupayaan pasaran modal untuk menyokong pertumbuhan dalam ekonomi sebenar dengan meluaskan akses kepada pembiayaan pasaran modal untuk perniagaan kecil dan inovatif di samping memudahcarakan pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab secara sosial.

Menyedari peranan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menggalakkan pewujudan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, SC telah membangunkan program Rakan Niaga Pelaburan PKS yang membolehkan PKS memperolehi pembiayaan tanpa cagaran dan kepakaran pengurusan dari kumpulan pelabur swasta yang layak. Perumusan rangka kerja untuk pengumpulan dana masyarakat berasaskan ekuiti juga menunjukkan usaha berterusan SC untuk mewujudkan peruntukan kawal selia inovasi kewangan yang bermanfaat dari segi sosial.

Pelancaran rangka kerja sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) menjadi pencetus kepada ketersediaan aset boleh labur kepada pelabur, dan mengambil peluang daripada sinergi perhubungan erat antara prinsip pelaburan bertanggungjawab dari segi sosial dan etika kewangan Islam. Inisiatif untuk meningkatkan struktur maklumat, seperti pengenalan indeks Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan usaha berterusan untuk menggalakkan pemakaian pelaporan bersepadu di Malaysia juga secara kolektif memudahcarakan pemprofilan SRI kepada peserta tempatan dan antarabangsa.

Melangkah ke hadapan

Untuk mencapai tahap pengawalseliaan yang lebih cekap, SC akan melaksanakan kajian semula terhadap peraturan pasaran utama berkenaan penjanaan modal, penzahiran dan kelulusan dana runcit. Bagi mempercepat proses pengantarabangsaan pasaran modal Islam, SC juga akan membangunkan satu rangka tindakan untuk meningkatkan cadangan nilai pengurusan dana dan kekayaan Islam Malaysia yang akan dikeluarkan pada penghujung tahun ini. Pada masa yang sama, SC akan terus meluaskan saluran pembiayaan dan membangunkan skala yang lebih besar antara segmen pasaran, termasuk meningkatkan usaha untuk memperluas dan meningkatkan penyertaan dalam PRS.

Bagi menguatkuasakan penyeragaman kawal selia dan usaha pembangunan pasaran yang dilaksanakan pada tahun 2014, garis panduan berikut akan dikeluarkan pada hari Isnin, 9 Mac 2015: 
  • Guidelines on Unlisted Capital Market Products under the Lodge and Launch (LOLA) Framework
  • Guidelines for Private Equity and Venture Capital

Inisiatif selanjutnya yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun 2015 termasuk Panduan Penzahiran Dana, dan memudahcarakan pengembangan model perniagaan termasuk pengenalan syarikat pengurusan dana khidmat khusus, yang membenarkan mereka menyediakan nasihat pelaburan kepada pelanggan melalui mandat khidmat nasihat. SC juga akan memperkenalkan kategori lesen-lesen baharu niaga sekuriti untuk struktur perniagaan baharu yang menggunakan teknologi.

Sebagai pengerusi semasa Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), SC juga akan meneruskan usaha untuk memacu agenda penyepaduan pasaran modal ASEAN dan pada masa yang sama menggalakkan akses menyeluruh kepada pelabur, penerbit dan pengantara pasaran di Malaysia kepada peluang yang wujud daripada keberkaitan serantau yang dipertingkat.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup