Pasaran Modal Malaysia Bersedia Menghadapi Peralihan Ke Y2K

Kuala Lumpur, 20 Disember 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin memaklumkan bahawa pasaran modal bersedia menghadapi peralihan ke Tahun 2000 (Y2K).

Ujian komunikasi antara SC dan badan-badan yang dikawal selia berjaya

Satu ujian telah berjaya dijalankan antara Pusat Komunikasi Y2K (YCC) SC dan pusat-pusat komunikasi badan yang dikawal selia oleh SC bagi memastikan komunikasi yang efektif dan lancar antara SC dan konstituennya ketika tempoh peralihan tersebut. Ujian tersebut telah dijalankan selama sehari dan melibatkan lebih daripada 100 institusi dan perantara pasaran.

YCC SC telah ditubuhkan sebagai satu langkah berjaga-jaga bagi pengurusan yang efektif ketika tempoh peralihan. Ia akan beroperasi sepenuhnya bermula pada 30 Disember 1999 hingga 4 Januari 2000.

Perbincangan peringkat tinggi antara SC dan ketua-ketua institusi pasaran telah diadakan bagi menyelaraskan aliran komunikasi dan proses membuat keputusan ketika tempoh peralihan. Ini adalah bagi memastikan masalah yang bakal timbul dapat diatasi secara cekap dan berkesan.

Persediaan SC bagi menghadapi kerumitan berkenaan isu Y2K ini telah bermula sejak tahun 1997. Bagi tujuan ini, tindakan telah pun diambil bagi memastikan pihak SC, institusi dan perantara pasaran modal bersedia menghadapi Y2K.

Kesediaan Institusi Pasaran

Institusi pasaran iaitu, bursa-bursa, rumah penjelasan, depositori pusat dan rumah terbitan telah bersedia menghadapi Y2K. Institusi-institusi ini telah menyempurnakan kerja ubah suai dan ujian dalaman yang ketat, ujian industri yang menyeluruh serta mempunyai pelan kontingensi yang diperlukan.

Di samping ujian ke atas setiap sistem institusi pasaran secara individu, beberapa siri ujian industri yang menyeluruh antara institusi pasaran dan syarikat ahli serta pembekal perkhidmatan telah berjaya dijalankan, membuktikan kesediaan Y2K industri pasaran modal.

Kesediaan Perantara Pasaran

Sejumlah besar perantara pasaran iaitu, syarikat pembrokeran, broker niaga hadapan, syarikat pengurusan aset dan syarikat pengurusan unit amanah telah menyempurnakan program Y2K mereka dan bersedia menghadapi perubahan ke alaf baru ini.

Namun begitu, terdapat beberapa syarikat yang berkemungkinan tidak dapat menyempurnakan kerja-kerja ubah suai Y2K dalam masa yang ditetapkan kerana masalah kewangan. Syarikat-syarikat tersebut telah pun dikenakan sekatan dagangan oleh pihak berkuasa. Kesediaan Y2K merupakan salah satu daripada beberapa syarat yang dikenakan sebelum sekatan tersebut ditarik balik.

Pelan Kontingensi Y2K Pasaran Modal

Di samping memastikan kesediaan peserta pasaran, SC telah menyediakan Pelan Kontingensi Y2K Pasaran Modal yang mengenal pasti tindakan kontingensi bagi situasi yang mungkin timbul dan membawa gangguan kepada pasaran secara keseluruhannya. SC berpendapat bahawa mempunyai pelan kontingensi yang terperinci dan teratur serta teruji keberkesanannya adalah satu aspek persediaan yang penting dan diperlukan bagi memastikan peralihan yang lancar ke Tahun 2000. Penyediaan pelan kontingensi yang terperinci menunjukkan perancangan yang berhati-hati dan tidak membayangkan jangkaan SC bahawa gangguan utama akan berlaku.

31 Disember sebagai hari tanpa dagangan dan penyelesaian dagangan

Sebagai satu lagi langkah berjaga-jaga, SC telah mengumumkan bahawa Jumaat, 31 Disember 1999 sebagai hari tanpa dagangan dan penyelesaian dagangan. Ini adalah selaras dengan keputusan Bank Negara Malaysia menjadikan hari yang sama, hari tanpa urusniaga bagi sektor perbankan dan insurans. Oleh kerana pasaran saham menggunakan perkhidmatan sektor perbankan bagi penyelesaian sekuriti yang diniagakan, keputusan bersama oleh BNM dan SC tersebut akan mengelakkan sebarang gangguan yang tidak diingini ketika tempoh peralihan. Dagangan akan dijalankan semula pada hari Isnin, 3 Januari 2000.

Beberapa jenis program komunikasi telah dirancang oleh SC untuk tempoh sebelum, ketika dan selepas peralihan. Ini adalah untuk memastikan pihak awam sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan ketika tempoh kritikal tersebut demi untuk mengekalkan keyakinan pihak awam terhadap pasaran modal Malaysia.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Pihak media yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Jabatan Hal-Ehwal Korporat di tel no. 03-654 8625 (Soh Beng Choo)/03-654 8184 (Azmi Hariss) atau faks no.: 03-651 5078

Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup