Pasaran modal Malaysia melepasi had RM2 trilion
17 Mac 2011   |   Kuala Lumpur
Ketika mengumumkan Laporan Tahunan 2010, Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyatakan bahawa pasaran modal Malaysia telah melepasi pencapaian ketara sebanyak RM2 trilion setakat penghujung tahun 2010. Beliau berkata pasaran modal telah mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 11% daripada RM717 bilion pada 2000 yang disebabkan oleh pengembangan pesat industri dan pengawasan kawal selia kukuh yang mengekalkan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia.

Permodalan pasaran ekuiti berkembang sebanyak 27% daripada RM979 bilion pada 2009 kepada RM1.2 trilion pada 2010 kerana sentimen yang bertambah baik susulan pelancaran program-program ekonomi baharu. FBMKLCI juga ditutup pada parasnya yang tertinggi, 1,528.01 pada 10 November dan secara konsisten lebih baik daripada indeks pasaran pesat membangun dan pasaran maju. FBMKLCI meningkat sebanyak 19% bagi tahun berkenaan, berbanding Indeks Pasaran Pesat Membangun MSCI 16% dan Indeks Dunia MSCI, 10%.

Pasaran Tawaran Awam Awal (IPO) juga kukuh dengan 29 penyenaraian baharu pada tahun 2010. Ini merupakan seganda daripada 14 penyenaraian yang dicatatkan pada tahun 2009. Penyenaraian baharu tersebut menjana RM19.79 bilion yang mana Petronas Chemicals Group Bhd mendahului sebagai IPO terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara dan berjaya menjana sebanyak RM12.8 bilion pada bulan November 2010.

Pasaran bon juga mencatakan pertumbuhan stabil dengan sekuriti hutang belum tebus meningkat sebanyak 16.2% daripada RM653.2 bilion pada tahun 2009 kepada RM758.7 bilion pada tahun 2010. Pada tahun 2010, SC meluluskan 52 sekuriti hutang swasta bagi penerbitan dengan nilai sebanyak RM63.6 bilion berbanding 34 terbitan yang diluluskan bernilai RM57.5 bilion setahun yang lalu.

Industri pengurusan dana kekal pertumbuhan dua angka 
Aset bawah pengursan meningkat daripada RM315 bilion pada tahun 2009 kepada RM377 bilion pada tahun 2010; kadar pertumbuhan sebanyak 19.8%. Nilai aset bersih (NAV) bagi industri unit amanah meningkat sebanyak 18.3% daripada RM191.7 bilion pada tahun 2009 kepada RM226.8 bilion pada tahun 2010. Pada tahun berkenaan, SC meminda Guidelines on Unit Trust Funds and Prospectus Guidelines for Collective Investment Schemes (Garis Panduan Tabung Unit Amanah dan Garis Panduan Prospektus bagi Skim Pelaburan Kolektif) bagi memudahcarakan pengenalan struktur pelbagai kelas untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelabur. Dua Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) utama telah disenaraikan pada tahun 2010 dengan nilai gabungan melebihi RM4 bilion.

Perkembangan mapan Pasaran Modal Islam 
Saiz Pasaran Modal Islam (ICM) kini melebihi RM1 trilion, dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.2%.

Penjanaan dana melalui instrument patuh Syariah terus mengekalkan popularitinya. SC meluluskan 21 terbitan sukuk bernilai RM40.3 bilion; yang merangkumi 63.4% daripada jumlah nilai kelulusan bon pada tahun 2010. Sukuk musyarakah berjumlah RM16.7 bilion atau 42.1% daripada jumlah sukuk yang diluluskan.

Pengantaraan dari Malaysia terus mengembangkan kedudukan mereka dalam pasaran. CIMB Islamic bertindak sebagai peneraju utama dalam sukuk mata wang asing bernilai US$500 juta yang diterbitkan oleh Bank Pembangunan Islam pada Disember 2010. Prudential Fund Management Bhd menjadi pengantara Malaysia pertama yang memanfaatkan perjanjian pengiktirafan bersama dengan Dubai bagi pengagihan rentas sempadan dana-dana Islam dan melancarkan produknya, Prudential Shariah Opportunities-Asia Pacific Equity Fund pada bulan Disember 2010.

Bilangan syarikat pengurusan dana Islam juga meningkat kepada 15 apabila empat lagi lesen pengurusan dana Islam diluluskan.

Pengawasan berhati-hati dan penguatkuasaan berkesan 
Pada tahun berkenaan, SC telah mempertingkat pengawasan berhati-hati dan tatalaku institusi dan pengantara pasaran dan fungsi pemantauannya. Pembabitan bersama pengantara dan PLC telah bertambah berkaitan dengan hal-hal pengawalseliaan yang meluas termasuk keperluan perlindungan aset pelanggan bersama industri pengurusan dana, struktur tadbir urus, audit dalaman dan fungsi pengurusan risiko pemegang amanah bon dan pelaporan mengenai aset oleh kustodian.

Kerangka kerja pemantauan telah banyak dipertingkatkan dengan petunjuk keseluruhan pasaran dan alat pemantauan baharu yang diwujudkan untuk memudahcarakan pengesanan awal ketaknalaran dagangan. SC juga telah meningkatkan komunikasi mengenai hal-hal pengawalseliaan melalui perkongsian dapatan daripada kerja-kerja penyeliaannya bagi memastikan kerjasama yang lebih erat bagi memperkukuh standard industri.

Pada tahun 2010, 29 tindakan pentadbiran telah dikenakan terhadap pengantara atas pelbagai salah laku, pelanggaran syarat pelesenan, dan pelanggaran peruntukan pengambilalihan dan percantuman syarikat.

REKOD PENGUATKUASAAN 2010
Pengembalian wang
  • Akaun-akaun yang dibekukan di bawah AMLA dan mengembalikan RM2.2 juta kepada pelabur dari Australia dalam skim penipuan Cambridge Capital Trading
  • Mengembalikan RM30 juta kepada pelabur dalam skim penipuan Swisscash
Sabitan
  • Bekas pengarah Oasis Asset Management, Muhammad Khalid Ismail, dipenjara 1 tahun kerana menyembunyikan rekod dan gagal menyimpan akaun amanah bagi pelaburan yang diterima, dan 2 tahun penjara kerana pecah amanah.
  • Phazaluddin Abu dijatuhi hukuman 4 tahun penjara kerana menjalankan skim ponzi.
  • Bekas-bekas pengarah MEMS Technology dipenjara enam bulan dan pengarah-pengarah Welli Multi Corp Bhd didenda kerana menyerahkan penyata kewangan yang mengelirukan.
  • Bekas pengarah urusan Granasia Corp Bhd disabitkan kesalahan kerana penyata IPO palsu.
  • Berjaya mendapat hukuman terhadap bekas pengarah Fountain View dan remisier kerana manipulasi pasaran.
Pendakwaan jenayah
  • Mendakwa bekas penyelaras perniagaan Liqua Health Corp Bhd kerana menipu dan bekas pengarah urusan Liqua kerana bersubahat.
  • Mendakwa bekas pengarah LFE Corp Bhd kerana menipu dan pengarah Linear Corp Bhd kerana bersubahat.
  • Mendakwa tigapengarah Inix Technologies Holdings Bhd kerana penyata palsu.
  • Mendakwa dua orang kerana gagal menghadirkan diri di SC untuk ditemu bual berhubung dengan siasatan terhadap Inix Technologies.
Berkenaan dengan kes-kes jenayah, SC telah berjaya memperoleh 15 sabitan dan memuktamadkan lima prosiding sivil. SC juga telah mengendalikan 39 pendakwaan jenayah dan memperoleh lebih daripada RM32 juta dalam bentuk pengembalian wang, kos dan denda, dan membekukan RM10 juta aset yang dibekukan. Antara lain, dua hukuman penjara yang bertindak sebagai teladan atas kesalahan berkaitan pasaran modal. Ini termasuk hukuman penjara empat tahun ke atas seorang ahli perniagaan selepas dia disabitkan kesalahan kerana mengendalikan skim penipuan pelaburan dalam talian tanpa memiliki lesen pengurus dana.

Mengukuhkan kerangka kerja perlindungan pelabur 
Lembaga Pemantauan Audit (AOB) memulakan operasinya pada 1 April 2010 dan sehingga akhir tahun, AOB telah melakukan pemeriksaan terhadap enam firma audit dan mengeluarkan laporan pemeriksaan bagi meminta pembetulan dilakukan mengikut masa bagi kesalahan yang dikenal pasti telah dilakukan. Lembaga Pemantauan Audit diterima sebagai ahli Forum Antarabangsa Pengawal Selia Audit Bebas pada September 2010, menjadikan Malaysia negara kedua anggota ASEAN menjadi ahli forum tersebut.

Standard penzahiran dan nasihat bebas diperkukuhkan lagi melalui Guidelines on Offer Documentation of the Malaysian Code on Take-overs and Mergers yang diperkemas kini.

Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) ditubuhkan pada bulan Julai 2010 dan berupaya menyediakan penyelesaian yang cepat dan percuma bagi pertikaian yang membabitkan tuntutan kecil. Program pendidikan pelabur SC berkembang lanjut dengan kecapaian terhadap lebih daripada 43,500 peserta pada tahun 2010.

Peluang pasaran baharu daripada perancangan pengawalseliaan rentas sempadan 
Peluang pasaran baharu dimulakan melalui pelbagai perancangan pengawalseliaan rentas sempadan bagi memudahkan pengantara domestik mengembangkan operasi mereka merentas sempadan serta mempromosikan aliran masuk yang lebih besar ke dalam pasaran modal Malaysia.

SC memperoleh kelulusan China bagi Malaysia diiktiraf sebagai destinasi pelaburan yang diluluskan bawah skim Pelabur Institusi Domestik Berkelayakan China (QDII) yang ditadbir oleh Suruhanjaya Pengawalseliaan Perbankan China (China Banking Regulatory Commission – CBRC) dalam bulan Jun. Malaysia menjadi pasaran pesat membangun pertama dan negara ASEAN kedua diletakkan bawah skim QDII. Program QDII membolehkan warga China melabur dalam pasaran seberang laut melalui institusi yang diluluskan seperti syarikat sekuriti, syarikat pengurusan dana, bank komersial, syarikat pemegang amanah dan syarikat insurans. Institusi yang diluluskan, yang dikawal selia oleh pengawal selia perbankan dan pengawal selia sekuriti China, kini boleh melabur dalam dana yang dijana daripada pelanggan mereka ke dalam sekuriti Malaysia termasuk ekuiti, produk pendapatan tetap dan skim pelaburan kolektif yang diluluskan oleh SC. Institusi ini juga boleh mendapatkan perkhidmatan pengurus dana Malaysia yang berlesen bagi membantu pelaburan QDII.

Pada 22 Jun, SC mendapat kelulusan Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi Amerika Syarikat (United States Commodity Futures Trading Commission – US CFTC) yang membenarkan peserta dagangan (broker niaga hadapan) Bursa Malaysia Derivatives Berhad (BMD) mendapatkan dan menerima pesanan dan dana pelanggan terus daripada pelanggan AS tanpa perlu mendaftar berasingan sebagai broker niaga hadapan di AS. Kelulusan ini dikeluarkan berhubung dengan Peraturan 30.10 Akta Bursa Komoditi AS dan diwujudkan atas penilaian bahawa boker niaga hadapan Malaysia adalah tertakluk kepada standard perlindungan pelanggan yang setanding standard antarabangsa. Bursa Malaysia Sdn Bhd dan Bursa Malaysia Bonds Sdn Bhd diiktiraf oleh AS sebagai Pasaran Sekuriti Luar Pesisir yang Diluluskan.

SC menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Lembaga Pasaran Modal Turki (Capital Markets Board of Turkey – CMB) untuk membuka jalan bagi kerjasama pengawalseliaan yang lebih erat bagi memudahcarakan aliran rentas sempadan yang lebih besar antara kedua-dua negara. Bawah MOU tersebut, SC dan CMB akan bertukar-tukar maklumat bagi memudahcarakan pengawasan dan penguatkuasaan dan bagi bertukar-tukar pengetahuan teknikal dan bekerjasama dalam bidang yang ada kepentingan bersama. SC juga menandatangani MOU dengan Pihak Berkuasa Pasaran Kewangan Qatar (QATAR Financial Markets Authority) bagi mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Qatar dan mengukuhkan hubungan dan kerjasama pengawalseliaan. Perjanjian kerjasama turut ditandatangani dengan SEBI (India) bagi mengukuhkan lagi komitmen SC dan SEBI bagi kerjasama dalam mempromosikan aliran rentas sempadan di antara kedua-dua pasaran.

FTSE menaik taraf Malaysia kepada status pasaran pesat membangun maju dalam siri Indeks Ekuiti Global FTSE; menekankan pengkitirafan global terhadap kerangka kerja pengawalseliaan pasaran modal Malaysia.

Keupayaan organisasi dan keberkesanan yang dipertingkat 
Cabaran landskap pasaran yang berubah-ubah memerlukan kemahiran yang lebih mendalam bagi mengukuhkan keupayaan pengawalseliaan, peningkatan penggunaan teknologi maklumat dan kemas kini berterusan proses dan sistem SC.

SC telah melaksanakan pelbagai program bagi memupuk budaya prestasi tinggi dan beberapa inisiatif IT bagi meningkatkan kecekapan urusan dan operasinya. Ini termasuklah mewujudkan pangkalan data bersepadu dan meningkatkan alat pemantauan dan analitis bagi tujuan pengawasan, penguatkuasaan dan penyelidikan dasar.

Keutamaan bagi tahun 2011
Amat penting kedudukan pasaran modal diperkukuh bagi memenuhi keperluan penjanaan modal pada masa akan datang untuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta memenuhi aspirasi negara bagi pertumbuhan yang merangkumi perkembangan sosial dan terus kekal.

Setakat ini, kerangka kerja skim pencen swasta akan dilancarkan bagi melengkapi skim pencen mandatori sedia ada dan bagi menyediakan pilihan yang lebih luas untuk penyumbang menambah simpanan persaraan mereka.

Kerja-kerja terhadap rangka tindakan tadbir urus korporat lima tahun yang baharu dan Pelan Induk Pasaran Modal 2 (CMP2) 10 tahun yang bertujuan untuk menjelaskan strategi dan agenda Malaysia bagi pembangunan dan kawal selia pasaran modal bagi dekad ini, juga sedang berjalan lancar.

Memandangkan wujudnya kebangkitan semula kemudahubahan dalam pasaran global baru-baru ini, SC akan memberi keutamaan dalam memperhebat pengawasannya terhadap keadaan pasaran dan akan terus memberi penekanan dalam mengukuhkan kebingkasan pengantara terhadap kemungkinan risiko daripada persekitaran luaran.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup