Pasaran Modal Malaysia Meningkat Dalam Semua Segmen Berkembang kepada RM2.82 Trilion
10 Mac 2016|   Kuala Lumpur
Pasaran modal Malaysia mencatat pertumbuhan dalam semua segmen pada 2015, dengan saiznya berkembang 2.1% kepada RM2.82 trilion, bersamaan dengan 2.5 kali saiz ekonomi domestik.

Pasaran ekuiti meningkat sebanyak 2.6% kepada RM1.70 trilion daripada RM1.65 trilion pada 2014, manakala pasaran bon dan sukuk berkembang sebanyak 1.4% kepada RM1.12 trilion, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sempena pengumuman laporan tahunan 2015.

Pasaran modal Malaysia terus menjadi sumber pembiayaan utama dengan RM90 bilion dikumpulkan melalui pasaran utama untuk tahun keempat berturut-turut. Sejumlah RM86 bilion telah dikumpulkan melalui bon manakala RM4 bilion melalui tawaran awam awal (IPO). Tambahan sebanyak RM17 bilion juga dikumpulkan melalui pasaran ekuiti sekunder.

“Keupayaan pasaran modal untuk kekal berdaya tahan di samping mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pelabur dalam suasana global yang mencabar membuktikan usaha berterusan yang telah dilakukan untuk mengukuhkan asas-asas kawal selia dan institusi. Ini termasuk keupayaan pengantaraan yang dibangunkan dengan baik dan pelabur institusi domestik yang agak besar, membolehkan penggerakan modal yang cekap dan menyediakan perlindungan terhadap tekanan luar, "kata Dato' Seri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.
Saiz pasaran modal Islam (ICM) meningkat 6.7% kepada RM1.70 trilion pada 2015, berbanding RM1.59 trilion pada 2014. Permodalan pasaran sekuriti patuh Syariah mencapai RM1.09 trilion pada 2015, yang merangkumi 64.1% daripada jumlah permodalan pasaran. Malaysia terus menjadi peneraju global dalam pasaran sukuk, menguasai 54.3% daripada sukuk global belum tebus pada penghujung 2015.

Industri pengurusan dana mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6% dengan aset bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada RM668 bilion pada 2015 berbanding RM630 bilion pada 2014. Dana unit amanah, yang mengekalkan keseluruhan jualan bersih sebanyak RM17.8 bilion, menyumbang sebanyak RM347 bilion dalam nilai aset bersih (NAV) pada penghujung 2015.
Skim Persaraan Swasta (PRS), yang ditubuhkan tiga tahun lalu, mencatatkan satu pencapaian penting pada 2015 dengan NAV melepasi paras RM1 bilion iaitu sebanyak RM1.2 bilion. Bilangan pencarum PRS juga telah meningkat dengan ketara kepada 180,651 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 40% dari Disember 2014.

Mengekalkan Integriti Pasaran

Dengan meningkatnya kemudahubahan dan risiko penyalahgunaan pasaran, pengawasan SC telah dipertingkatkan untuk memelihara kestabilan dan mencegah salah laku. Semakan tematik dijalankan ke atas dagangan elektronik sekuriti, dagangan sekuriti dan waran berstruktur berharga rendah untuk mengenal pasti dan menangani risiko yang berpotensi dalam pasaran.

Pada 2015, penyeliaan SC adalah bertumpu kepada meningkatkan budaya dan tatalaku pengantara berlesen. 78 penilaian dan urus niaga secara misteri telah dijalankan untuk menilai amalan perniagaan pengantara. Lembaga Pemantauan Audit (AOB) juga telah memeriksa 12 firma audit dan memilih 35 rakan kongsi audit individu untuk penilaian, yang menyebabkan tindakan penguatkuasaan dimulakan terhadap dua rakan kongsi audit dan dua firma audit.

Bagi menggalakkan tadbir urus yang baik dan budaya pematuhan dalam kalangan pengarah pengantara berlesen, Program Pengarah Pasaran Modal telah dilancarkan. Sehingga kini, lebih 300 pengarah syarikat dan pengurusan kanan telah menghadiri program tersebut.

SC terus memastikan pencegahan perlakuan kesalahan yang andal dengan 219 pertuduhan jenayah dikenakan terhadap 16 individu kerana dagangan orang dalam dan mengenakan 41 tindakan pentadbiran ke atas individu kerana melanggar pelbagai garis panduan. Keseriusan kesalahan pasaran modal telah diiktiraf oleh mahkamah apabila ketua pegawai eksekutif, pengarah dan rakan kongsi audit yang melanggar undang-undang sekuriti dijatuhi hukuman penjara antara 12 bulan hingga 18 bulan. Tindakan penguatkuasaan sivil juga dimulakan terhadap lima individu kerana kesalahan dagangan orang dalam manakala enam yang lain dikehendaki membuat pemulangan balik amaun yang melebihi RM3 juta sebagai restitusi kepada pelabur.

Inisiatif Perlindungan Pelabur

Dalam usaha untuk meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan maklumat dalam dokumen penzahiran, Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007 telah dipinda untuk melarang penggunaan fasal untuk menyekat atau mengehadkan liabiliti bagi maklumat palsu atau tidak tepat.

Untuk meningkatkan kualiti penzahiran penyata kewangan, Garis Panduan Prospektus juga dipinda untuk memasukkan keperluan baharu untuk pendapat audit "benar dan saksama" berhubung dengan maklumat kewangan yang dinyatakan dalam prospektus, menggantikan keperluan sebelum ini untuk proforma maklumat kewangan.

Untuk meluaskan akses pelabur kepada mekanisme penyelesaian pertikaian pasaran modal, bidang kuasa Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) telah ditingkatkan untuk merangkumi pertikaian dan tuntutan kewangan yang timbul daripada penjualan dan pengedaran PRS. Had tuntutan maksimum SIDREC juga telah dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM250,000 berkuat kuasa 1 Disember 2015.

Pendidikan pelabur kekal sebagai fokus utama ekosistem perlindungan pelabur SC. Selain mendekati pelabur melalui program seperti BijakLabur dan "SC Bersama Masyarakat", SC juga telah meningkatkan capaiannya melalui penggunaan saluran digital, termasuk App dan Facebook Invest Smart.

Pembaharuan Kawal Selia

Sebagai sebahagian daripada program pembaharuan pelbagai tahun, rangka kerja kawal selia telah disemak untuk meningkatkan kecekapan pasaran dan memudahcarakan inovasi.
Salah satu hasil utama program pembaharuan ini ialah pengenalan kepada Rangka Kerja Serah dan Simpan untuk meliberalisasikan sistem kelulusan bagi produk borong. Lima garis panduan produk yang berbeza telah digabungkan ke dalam satu garis panduan yang menyediakan sumber rujukan tunggal bagi penerbit dan pengedar.

Dalam usaha untuk meningkatkan kedudukan daya saing industri pengurusan dana, SC juga melonggarkan peraturannya bagi membolehkan penubuhan syarikat pengurusan dana khidmat khas (boutique) melalui struktur yang lebih memudahcarakan.

Salah satu daripada usaha pembangunan pasaran utama SC ialah inisiatif berkaitan inovasi termasuk penggunaan teknologi kewangan (FinTech). Pada Februari 2015, Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini yang memperkenalkan rangka kerja perundangan untuk memudahkan Pendanaan Masyarakat Berasaskan Ekuiti, yang mana enam pengendali platform telah didaftarkan. Pakatan Komuniti FinTech atau aFINity@SC, juga telah diwujudkan untuk menghubungkan penginovasi, institusi dan penyelaras bersama-sama menjadi pemangkin kepada pembangunan pendigitan penyelesaian pasaran di Malaysia.

KEUTAMAAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Sebagai pengiktirafan atas kepimpinan dan sumbangan SC di peringka global, Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) telah meluluskan penubuhan pejabat serantaunya yang pertama di Kuala Lumpur. Ini merupakan pejabat antarabangsa IOSCO yang pertama di luar ibupejabatnya di Madrid, Sepanyol.

Malaysia telah menyempurnakan Latihan Penilaian Bersamanya yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan Asia Pacific Group (APG) mengenai Penggubahan Wang Haram pada 2015. Rangka kerja kawal selia sektor kewangan Malaysia didapati amat patuh kepada 40 cadangan FATF. Susulan penilaian tersebut, baru-baru ini, Malaysia telah diberikan keahlian penuh FATF.

SC selaku Pengerusi Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) terus menerajui inisiatif serantau untuk mencapai kesalinghubungan pasaran yang lebih baik. Pada tahun berkenaan, 12 dana di rantau ini telah diberikan kebenaran sebagai Skim Pelaburan Kolektif (CIS) ASEAN Yang Layak di bawah rangka kerja CIS ASEAN yang diperkenalkan pada 2014.

Fokus pada 2016

SC akan meneruskan usaha pembaharuan kawal selianya untuk meningkatkan kecekapan pasaran dan pada masa yang sama memberi penekanan kepada tadbir urus dan tatalaku yang baik. Ia juga akan menggalakkan inovasi untuk memperluas akses dan kecekapan pasaran. Inisiatif-inisiatif utama termasuk:

  • Pelancaran Kod Tadbir Urus Korporat (CG) baharu: SC akan merumus keutamaan CG bagi tempoh lima tahun akan datang dengan Malaysian Code on Corporate Governance 2016 yang telah disemak semula, yang akan dilancarkan susulan perundingan awam pada bulan April.

  • Pengenalan Rangka Kerja Peminjaman Antara Rakan Setara (P2P) pada separuh tahun pertama 2016: SC akan terus memanfaatkan teknologi untuk menawarkan penyelesaian inovatif pembiayaan berasaskan pasaran. Peminjaman P2P akana meningkatkan akses kepada modal bagi SME dan perniagaan kecil, sejajar dengan pilihan pembiayaan utama yang kini ditawarkan oleh institusi kewangan tradisional dan koperasi.

  • Fasa seterusnya bagi pasaran bon korporat dan sukuk: Usaha ke arah memusatkan maklumat untuk meningkatkan ketelusan, akses maklumat yang lebih luas kepada pelabur dan menggalakkan kecairan pasaran sekunder, serta langkah-langkah untuk mengembangkan penawaran bon dan sukuk kepada pasaran runcit.

  • Rangka Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam (IFWM): Memanfaatkan kepimpinan negara dalam indusri pengurusan dana, SC telah merumus Rangka Tindakan IFWM bagi Malaysia, yang akan dilancarkan pada 2016.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup