Pasaran Modal Malaysia Pamer Ketahanan Sepanjang Tahun COVID-19
Keutamaan 2021 untuk Menyokong Pemulihan Ekonomi
18 Mac 2021  |   Kuala Lumpur

Pasaran modal Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membiayai ekonomi domestik dan menggerakkan tabungan walaupun berdepan dengan keadaan yang mencabar pada 2020. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), ketika mengumumkan Laporan Tahunan 2020-nya hari ini, berkata bahawa pasaran modal berkembang sebanyak 7% kepada RM3.4 trilion pada 2020 berbanding RM3.2 trilion pada 2019.
Kedua-dua pasaran ekuiti dan bon tempatan pulih daripada paras rendah ketika pandemik, mengatasi pasaran serantau. Jumlah dana yang dikumpulkan melalui pasaran ekuiti dan bon korporat adalah sebanyak RM115 bilion, disokong oleh peningkatan sebanyak 76% dalam penerbitan ekuiti sekunder. Pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) turut mencatat momentum pertumbuhan berterusan, meningkat sebanyak 43% daripada tahun lalu, mengumpul sebanyak RM631 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Keseluruhan aset bawah pengurusan (AUM) menyaksikan pertumbuhan bingkas sebanyak 10% pada 2020 kepada RM905.5 bilion, mencerminkan minat pelabur yang lebih kukuh terhadap pasaran modal. Nilai aset bersih (NAV) industri unit amanah dan skim persaraan swasta masing-masing meningkat kepada RM519.5 bilion dan RM4.8 bilion. Pertumbuhan AUM dicapai walaupun terdapat tekanan penebusan ketika kemuncak penjualan balik saham di pasaran.

Ketika berucap kepada wartawan di persidangan media secara maya untuk melancarkan laporan tahunan SC 2020, Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC berkata, "Dunia, negara kita, seluruh rakyat, dan industri kita telah berdepan dengan tahun 2020 yang bergolak. Dengan langkah vaksinasi dipercepatkan di peringkat global dan domestik, kami optimistik namun berhati-hati bahawa tahun 2021 akan menyaksikan pemulihan peringkat pascapandemik yang akan mengembalikan negara ke landasan yang betul, walaupun pemulihan akan berlaku secara beransur-ansur dan tidak sekata di seluruh sektor dan negara-negara."

Menurut Datuk Syed Zaid, pada 2020, SC telah menyusun semula keutamaannya untuk membolehkan pengawal selia tersebut dan peserta pasaran modal menangani dan bertindak terhadap kesan pandemik di samping memastikan kestabilan dan kesinambungan pasaran.

Pada peringkat awal pandemik ini, SC memperkenalkan perbagai kelonggaran kawal selia dan langkah-langkah pelepasan untuk memastikan kesinambungan perniagaan dan memudahcarakan operasi pasaran yang teratur, termasuk pelanjutan tempoh bagi membuat pemfailan, pengecualian dan pelepasan fi. Sejumlah 389 PLC mendapat manfaat daripada pelbagai pengecualian fi penyenaraian sementara 47 PLC mengumumkan pelaksanaan pemgumpulan dana di bawah mandat yang dipertingkat dan umum. Sejumlah 544 mesyuarat agung juga telah dijalankan secara hibrid dan maya sepenuhnya.

Melengkapi usaha pengawalseliaan SC ialah inisiatif untuk melindungi dan memperkasa pelabur melalui pendidikan dan program kesedaran. SC telah melipatgandakan langkah dan intervensinya mengenai kesedaran pencegahan penipuan, kerana meningkatnya bilangan skim pelaburan tidak sah yang ditawarkan di media sosial dan platform pesanan. SC mengeluarkan sebanyak 134 Peringatan Pelabur, menyekat 78 laman web, dan menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk memberi tumpuan kepada penyiasatan terhadap penipuan dan aktiviti tidak berlesen. Pejabat Pengguna dan Pelabur SC juga mencatat peningkatan sebanyak 158% dalam bilangan aduan dan 123% dalam pertanyaan mengenai kesahihan skim pelaburan.

Meningkatkan budaya tadbir urus korporat (CG) kekal dalam senarai keutamaan SC. Pada 2020, SC mengeluarkan garis panduan untuk menggalakkan pelaksanaan wajar kewajipan fidusiari pengarah, dan memperkukuh tadbir urus lembaga pengarah kumpulan syarikat. Senarai semak Mesyuarat Agung Tahunan telah dikeluarkan untuk mendorong dialog yang bermakna antara pemegang saham dan lembaga pengarah ketika mesyuarat agung. Majlis Tadbir Urus Korporat (CG) yang terdiri daripada pihak berkepentingan utama CG, juga ditubuhkan untuk menyelaraskan dan menyatukan semua usaha penggalakan tadbir urus korporat yang baik di peringkat negara. Tahun berkenaan juga menyaksikan kemajuan yang memberangsangkan dalam penyertaan wanita dalam lembaga pengarah. Peratusan wanita dalam lembaga pengarah 100 syarikat tersenarai teratas adalah sebanyak 25.6% setakat 15 Mac 2021 (24% pada 31 Mac 2020).

SC terus berusaha mendapatkan hasil yang pantas dan berkesan melalui penggunaan pelbagai kaedah penguatkuasaan. Lima sabitan jenayah diperolehi atas kesalahan penipuan sekuriti, dagangan orang dalam dan penzahiran kewangan palsu, manakala hampir RM3.9 juta telah dikembalikan kepada 533 pelabur dan denda berjumlah RM2.2 juta dikenakan melalui tindakan sivil. Sepanjang tahun berkenaan, SC juga mengenakan 45 sekatan pentadbiran atas pelbagai pelanggaran undang-undang dan garis panduan sekuriti.

Tahun lalu juga menyaksikan penyelesaian dua penyiasatan utama yang dijalankan oleh SC berhubung 1MDB. Deloitte PLT telah dikenakan denda maksimum sebanyak RM2.2 juta di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 kerana kegagalannya melaporkan dengan segera kepada SC mengenai penyelewengan material, sementara Goldman Sachs Group Inc membuat penyelesaian global sebanyak US$3.9 bilion dengan Kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan semua tindakan kawal selia semasa dan yang sedang menunggu keputusan terhadap kumpulan entiti Goldman Sachs, antara lain, kerana peranan mereka dalam penerbitan bon berkaitan 1MDB.

Melangkah ke Hadapan

SC akan meneruskan visi 3A untuk pasaran modal - Pasaran modal yang cekap, mudah diakses dan bertanggungjawab (3A) yang bingkas, inovatif dan bersedia untuk menyokong pemulihan dan transformasi ekonomi Malaysia, di samping memastikan kemakmuran bersama untuk semua.

Keutamaan kami bagi tahun 2021 akan bertumpu kepada perkembangan yang disaksikan dalam industri. Ketika ekonomi dan syarikat di Malaysia meneruskan momentum pemulihan mereka, SC akan memberi tumpuan untuk memastikan lebih banyak perniagaan, termasuk PMKS dan Syarikat Peringkat Pertengahan (Mid-Tier), dapat mengumpulkan dana melalui pasaran modal, sejajar dengan fokus kerajaan untuk membangunkan syarikat pertumbuhan tinggi dalam ekonomi hijau dan digital.

Pembangunan digital akan terus menjadi agenda utama industri dan oleh itu, ia menjadi satu bidang keutamaan SC. Ini akan memerlukan penyelarasan pengantaraan yang lebih inovatif dalam pasaran modal, dan memberi lebih tumpuan kepada keupayaan industri untuk menguruskan risiko teknologi, termasuk risiko siber. Di SC, kami akan memperkukuhkan keupayaan kawal selia dalam pemantauan risiko dan memastikan penggunaan teknologi dan pembelajaran mesin dalam fungsi pengawalseliaan kami dari pengawasan kepada penguatkuasaan.

Seiring dengan meningkatnya fokus terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), SC juga akan memberi keutamaan kepada pertumbuhan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan akan terus memanfaatkan pasaran modal Islam untuk memacu SRI. SC akan membangunkan Prinsip Panduan Taksonomi SRI untuk pasaran Malaysia – tonggak utama agenda kemampanan negara oleh Kerajaan untuk membawa Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Menyedari peranan pentingnya dalam menyokong usaha pemulihan ekonomi dan transformasi negara ke hadapan, SC akan melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) pada separuh kedua tahun ini. CMP3 menggariskan pendekatan dan inisiatif pembangunan dan pengawalseliaan untuk tempoh lima tahun akan datang, untuk membangunkan pasaran modal yang relevan, cekap dan dipelbagai untuk masa hadapan.

Lembaga Pemantauan Audit (AOB) juga mengumumkan Laporan Tahunan 2020-nya. Para juruaudit dan Jawatankuasa Audit adalah diingatkan bahawa mereka bertanggungjawab untuk memastikan audit bebas berkualiti tinggi untuk meningkatkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang diaudit entiti kepentingan awam (PIE) dan kumpulan wang jadual meskipun berdepan cabaran berterusan yang timbul daripada pandemik tersebut.

Sepanjang tahun berkenaan, sebanyak empat firma audit dan 242 tugasan audit telah dipilih untuk semakan tematik oleh AOB di luar lokasi berikutan kesan COVID-19, yang menunjukkan jurang dalam bilangan pengesahan juruaudit mengenai andaian keupayaan meneruskan perniagaan dan penilaian kemerosotan nilai, serta kecukupan peristiwa selepas akhir tahun kewangan dalam penyata kewangan yang telah diaudit. Di samping itu, AOB meneruskan pemeriksaan berkala dan melibatkan 10 firma audit dan 19 tugasan audit. Pada 2020, AOB terus mendapati ketakpatuhan oleh juruaudit terhadap piawaian audit dan telah mengenakan sekatan yang sewajarnya terhadap juruaudit tersebut dengan tujuan untuk menekankan pentingnya kualiti audit yang tinggi.

Untuk maklumat terkini mengenai Laporan Tahunan 2020 SC dan AOB, sila ikuti Twitter SC di twitter.com/SecComMY atau muat turun laporan penuh di www.sc.com.my/ar-2020.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup