Pasaran Modal Rekod Pertumbuhan Meluas pada Tahun 2006

SC keluarkan Laporan Tahunan 2006

Kuala Lumpur, 8 Mac 2007

Rejim perlindungan pelabur yang kukuh, penyahkawalseliaan yang progresif dan liberalisasi menyumbang kepada penambahbaikan yang signifikan dalam keyakinan pelabur dan ini membawa kepada pertumbuhan meluas dalam pasaran modal Malaysia pada tahun 2006.

Dalam satu sidang akhbar ketika mengumumkan Laporan Tahunan 2006nya, Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata bahawa ia telah meningkatkan usaha untuk memperkukuh lagi tadbir urus melalui fungsi pengawasan, pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan.

Sejajar dengan itu, SC terus berusaha bagi menambah baik pasaran dan disiplin kendiri dengan meletakkan penggiat pasaran modal ke tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi. Ini dicapai melalui pelaksanaan penyeliaan berteraskan prinsip dan penggunaan pendekatan yang strategik kepada penguatkuasaan.

SC juga memberikan lebih banyak kelonggaran bagi membolehkan pengantara pasaran modal memberikan tindak balas yang lebih pantas terhadap keperluan pelanggan yang berubah-ubah dan untuk mengurangkan kos pengawalseliaan mereka. SC terus mengukuhkan perkhidmatannya kepada pemegang kepentingan.

Pertumbuhan tinggi dalam beberapa segmen pasaran

Saiz pasaran modal Malaysia, yang terdiri daripada hutang dan ekuiti, mengembang sebanyak 17 peratus atau RM190.1 bilion hingga RM1.3 trilion pada tahun 2006. Ini menunjukkan peranan pasaran modal yang semakin penting dalam ekonomi negara. Peningkatan RM190.1 bilion dalam nilai pasaran pada tahun 2006 berbanding pada tahun 2005 hampir sama dengan jumlah keseluruhan pasaran pada tahun 1990.

Jumlah kelulusan untuk pelaksanaan penjanaan modal meningkat sebanyak 21 peratus kepada RM79.3 bilion. Dengan peningkatan kematangan ekonomi Malaysia, terdapat lebih keyakinan terhadap sekuriti hutang swasta (PDS) untuk pembiayaan. Dana yang diluluskan melalui PDS meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM75.8 bilion. Ini adalah penting memandangkan kelulusan PDS pada tahun 2006 hampir empat kali ganda lebih besar dibandingkan dengan nilai kelulusan PDS pada tahun 2000.
Saiz purata 30 IPO yang diluluskan pada tahun 2006 pada RM45 juta secara signifikannya lebih tinggi berbanding dengan RM31 juta saiz purata IPO yang diluluskan pada tahun 2005. Penyenaraian baru membawa jumlah keseluruhan syarikat di Bursa Malaysia kepada 1,027. Jumlah permodalan pasaran ialah RM848.7 bilion setakat akhir tahun 2006, berbanding RM695.3 bilion pada penghujung tahun 2005.

Antara segmen pertumbuhan paling pantas di pasaran modal Malaysia ialah industri pengurusan pelaburan. Nilai aset bersih (NAV) industri unit amanah meningkat sebanyak 23.6 peratus kepada RM121.8 bilion manakala dana bawah pengurusan meningkat sebanyak 29.2 peratus kepada RM164.4 bilion. Pertumbuhan pesat ini menunjukkan peningkatan penggunaan khidmat luar mandat dana, pengembangan julat produk dan pertambahan dalam nilai portfolio.

Pasaran modal Islam — peningkatan pengantarabangsaan dan inovasi

Melalui peningkatan pengantarabangsaan dan pembangunan produk, Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah pusat pasaran modal Islam. Suatu perkembangan yang signifikan ialah kebolehan Malaysia yang semakin meningkat dalam menginovasi produk patuh Syariah yang sofistikated dan diterima di peringkat antarabangsa.

Dengan sokongan infrastruktur pengawalseliaan yang komprehensif dan dimudah cara, julat meluas pengantara kewangan dan pelbagai produk, pasaran modal Islam semakin berkembang pesat. SC meluluskan sukuk berjumlah RM42 bilion pada tahun 2006. kini, Malaysia mengasalkan 67 peratus daripada terbitan sukuk dunia. Tahun 2006 juga menyaksikan penyenaraian dua REIT Islam pertama dengan 86 peratus saham di Bursa adalah patuh Syariah yang merangkumi RM548.4 bilion atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran.

Pada tahun 2006, Bank Negara Malaysia, SC dan pemegang kepentingan lain telah melancarkan inisiatif MIFC. Ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah pusat pengasalan dan dagangan instrumen ICM dan perbendaharaan, dana Islam dan khidmat pengurusan harta.

Pengawasan yang diperkukuh, pemantauan dan penguatkuasaan bagi perlindungan pelabur

SC mengguna pakai pendekatan pre-emptif dalam pengurusan tadbir urus risiko bagi pelabur. Pada tahun 2006, penekanan lebih besar telah dilakukan bagi memastikan bahawa SC hanya menerima cadangan korporat yang berkualiti dengan kebertanggungjawaban yang lebih besar dikenakan ke atas para penasihat dan profesional. Ini membawa kepada penambahbaikan kualiti keseluruhan pengemukaan IPO kepada SC.

Sejak sekian lama, SC membina kapasiti dan kebolehannya bagi mengesan ketaknalaran pelaporan kewangan dengan menambah baik sistem dan keupayaan. Pada tahun 2006, SC memperluas pengawasan korporat kepada terbitan bon oleh PLC. Dalam tahun tersebut, SC mengekalkan pemantauan ke atas 333 syarikat, yang mana 242 daripadanya merupakan pemantauan rutin manakala 91 adalah kes semakan yang memerlukan perhatian teliti. Pengawasan korporatnya yang aktif membawa kepada penemuan ketaknalaran dan membolehkan tindakan penguatkuasaan pantas diambil.

Pada tahun 2006, SC melaksanakan pendekatan berteraskan prinsip terhadap penyeliaan. Menurut SC, pengantara domestik yang menunjukkan standard tatalaku pasaran yang tinggi membolehkan SC meningkatkan kepercayaannya terhadap sistem kawalan dalaman dan disiplin kendiri mereka. Pendekatan berteraskan prinsip ini juga membabitkan peningkatan pengawasan dan pemeriksaan tematik di tempat urusan. Sekiranya ada kesalahan dilakukan, SC mempunyai akses kepada tindakan pengawalseliaan yang meluas, termasuk pendakwaan dan penguatkuasaan sivil.

Pada tahun 2006, usaha penguatkuasaan SC fokus terhadap kes-kes yang membabitkan penzahiran, layanan adil terhadap pelabur, dan penasihat dalam memenuhi obligasi ketekunan wajar mereka. Tindakan pentadbiran mencakupi 90 peratus daripada tindakan penguatkuasaan dan mempunyai kelebihan tempoh masa yang lebih singkat. Tindakan ini boleh menjadi lebih tegas, umpamanya menghalang pengemukaan bagi suatu tempoh masa dan celaan awam, yang mempunyai kesan kepada reputasi, dan juga denda.

Kes-kes utama termasuklah tindakan ke atas Granasia Corporation Sdn Bhd dan Hospitech Resources Bhd kerana penzahiran yang mengelirukan yang membawa kepada pemulangan dana orang ramai yang berjumlah RM39 juta. Hwa Tai Industries Bhd dikenakan celaan awam dan bayaran penalti dikenakan ke atas para pengarahnya kerana gagal memperuntukkan saham secara adil. SC mengenakan penalti sebanyak RM200,000 ke atas Pengerusi Hwa Tai dan pengarah bukan eksekutifnya, yang merupakan pemegang saham tunggal terbesar. Pengarah-pengarah lain didenda RM50,000 tiap seorang.

SC meletakkan penasihat dan profesional pada standard yang tinggi dan mengambil tindakan pentadbiran ke atas Deloitte KassimChan, Hwang-DBS Securities dan Affin Merchant Bank kerana tidak memenuhi obligasi ketekunan wajar mereka.

Memberi perkhidmatan yang cekap bagi memenuhi keperluan pasaran

Menyedari keperluan pasaran, SC telah memendekkan jangka masa pemprosesan cadangan korporat. Masa untuk meluluskan penyenaraian saham bermodal besar telah dipendekkan kepada satu bulan daripada tiga bulan sebelumnya; pendaftaran bagi prospektus ringkas dikurangkan kepada satu hari manakala kelulusan bagi terbitan hak bersendirian hanya dalam masa lima hari. Antara 84 hingga 100 peratus permohonan memenuhi piagam masa dalam tahun 2006.

Piagam masa ini ditanda ukur mengikut standard antarabangsa dan, bagi kepentingan ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih besar, SC mengeluarkan kad skor suku tahunan. Alasan bagi penolakan cadangan korporat disiarkan di laman webnya.

Bergerak ke hadapan

Pada tahun 2007, SC menumpukan kepada usaha mengoptimumkan keberkesanan pengawalseliaan untuk menggalakkan lagi pertumbuhan dan inovasi. Usahanya ke arah ini termasuk menggalakkan keberkesanan dan daya saing pasaran, yang mana inisiatif penyahkawalseliaan dan liberalisasi merupakan aspek utama.

Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Pasaran Modal menjadi komponen penting dalam langkah mencapai keseimbangan yang optimum antara kawal selia yang mudah cara dan perlindungan pelabur.

Tahun ini SC akan meneruskan inisiatif bagi mengukuhkan pengetahuan pelabur; mengekalkan teraju Malaysia sebagai pasaran modal Islam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengawalseliaan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup