Pasaran serantau kongsi pengalaman Malaysia dalam pembangunan pasaran bon

SC Anjur Bengkel Bersama Kementerian Kewangan Jepun

Kuala Lumpur, 1 September 2005

Pengalaman Malaysia dalam pembangunan pasaran bon telah dikongsi oleh negara-negara serantau ketika Bengkel Bantuan Teknikal Inisiatif Pasaran Bon Asia (ABMI), yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Sekuriiti (SC) Malaysia dan Kementerian Kewangan Jepun pada 29-30 Ogos 2005 di Kuala Lumpur.

Ketika di bengkel tersebut yang bertemakan "Ke arah Memajukan Agenda ABMI: Pensekuritian dan Penerbitan Bon Rentas Sempadan", SC memainkan peranan penting dengan berkongsi pengalamannya dalam membangunkan pasaran bon negara, sejajar dengan komitmen Malaysia untuk memberikan bantuan teknikal kepada Kumpulan Penyelarasan Bantuan Teknikal ABMI. ABMI merupakan sebahagian daripada inisiatif negara ASEAN+3 termasuk semua negara anggota ASEAN serta Jepun, Korea dan China.

Timbalan Ketua Eksekutif SC, Dato' Zarinah Anwar berkata perkongsian maklumat sedemikian tepat pada masanya memandangkan kadar pertumbuhan pasaran bon serantau yang sangat memberangsangkan iaitu lebih tinggi daripada rantau lain di dunia. Sehingga akhir 2004, pasaran bon serantau, termasuk Jepun, telah matang pada kadar purata tahunan sebanyak 12.4% sejak tahun 1997, mencapai saiz sebanyak US$10.3 trilion.

"Kadar pertumbuhan dalam pasaran bon serantau kita ini mesti dikekalkan demi memapankan pertumbuhan ekonomi yang rancak dan untuk mengukuhkan kekukuhan sistem kewangan," kata Dato' Zarinah.

Beliau juga menyatakan keperluan bagi negara di rantau ini untuk terus mencari kaedah dan peluang baru bagi menggalakkan perkembangan pasaran bon serantau.

"Urus niaga rentas sempadan akan memberikan peluang baru bagi pasaran bon serantau dan menyediakan asas kukuh bagi pasaran bon Asia melalui penggunaan tabungan Asia bagi pelaburan Asia," kata beliau.

Antara lain, para peserta bengkel juga diberikan penerangan mengenai peranan kerajaan dan badan kawal selia dalam memacu dan menyelaras perubahan yang diperlukan untuk memudahcarakan pertumbuhan dan pembangunan pasaran sekuriti yang disokong aset tempatan di Malaysia. Usaha-usaha ini termasuk, antara lain, rangka kerja pengawalseliaan yang telus dan memudahcarakan serta inisiatif pencukaian yang diberikan oleh kerajaan-antara faktor utama yang telah menyumbang kepada pertumbuhan pasaran pensekuritian Malaysia sejak tahun 2001.

Di samping itu, bengkel tersebut juga telah memberikan perspektif penerbit bon di Malaysia serta laporan mengenai usaha penstrukturan terbitan pensekuritian Cagamas.

Lebih 40 pegawai kanan kerajaan dari sembilan negara anggota ASEAN+3 menghadiri bengkel tersebut. Selain penceramah dari Malaysia, bengkel tersebut juga disertai oleh penceramah dari sektor awam dan swasta Korea dan Jepun serta ahli akademik antarabangsa. Peserta lain adalah termasuk wakil dariapda Sekretariat ASEAN dan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang menyokong ABMI dalam pelbagai kajian dan projek penyelidikan mengenai pembangunan pasaran bon di rantau ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup