Pasukan Petugas CCOB mempelawa maklum balas untuk kertas perundingan awam kedua Akta Kredit Pengguna

Untuk siaran segera

Kuala Lumpur, 5 April 2023

Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (Consumer Credit Oversight Board, CCOB) atau dikenali sebagai Pasukan Petugas CCOB hari ini menerbitkan kertas perundingan awam kedua (Consultation Paper 2, CP2) dan mempelawa maklum balas tentang cadangan rangka kerja kawal selia bagi perniagaan kredit dan perniagaan perkhidmatan kredit.

CP2 merupakan lanjutan daripada kertas perundingan awam pertama yang diterbitkan pada 4 Ogos 2022. Kertas perundingan tersebut meliputi keperluan berhubung dengan pemberikuasaan, tadbir urus dan amalan yang dikehendaki daripada semua penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank yang belum dikawal selia pada masa ini. Khususnya, penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit merujuk perniagaan yang menjalankan aktiviti Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL), perkhidmatan Pemajakan (Leasing) dan Pemfaktoran (Factoring), Agensi Kutipan Hutang (Debt Collection Agencies, DCA), Pembeli Pinjaman Terjejas (Impaired Loan Buyers, ILB) serta Perkhidmatan Kaunseling dan Pengurusan Hutang (Debt Counselling and Management Services, DMA).

“Penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit perlu dikawal selia serta mematuhi standard amalan atau profesionalisme yang tinggi. Pasukan Petugas CCOB akan terus mengadakan sesi libat urus secara meluas dengan industri yang belum dikawal selia pada masa ini serta dengan pengguna bagi menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang praktikal. Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan perlindungan kepada para pengguna dan pada masa yang sama menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang dapat memenuhi keperluan individu dan perniagaan kecil dengan berkesan”, kata Abu Hassan Alshari Yahaya, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia yang juga Ketua Pasukan Petugas CCOB.

Skop CP2, antara lain, mencadangkan keperluan pelesenan yang penting. Keperluan ini termasuk keperluan kewangan minimum, tadbir urus serta keperluan Syariah bagi perniagaan kredit berlandaskan Syariah Islam. CP2 turut menetapkan amalan profesional dan piawaian pinjaman berhemat yang perlu dipatuhi oleh penyedia kredit yang akan diberikan lesen.

CP2 juga mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada Akta Sewa Beli 1967 (Hire Purchase Act, HPA). Penambahbaikan ini bertujuan untuk memodenkan akta tersebut di samping mempertingkat hasil pengguna. Khususnya, Pasukan Petugas CCOB ingin mendapatkan maklum balas bagi cadangan untuk memansuhkan Peraturan 78. Peraturan ini membuat pengiraan faedah yang akan dikenakan ke atas kontrak sewa beli secara lebih awal. Sehubungan dengan itu, caj faedah yang lebih tinggi akan dikenakan pada awal tempoh pinjaman. Kaedah pembiayaan ini boleh menyebabkan ketidakadilan kepada peminjam yang memilih untuk menyelesaikan pinjaman mereka lebih awal. Cadangan perubahan kepada HPA 1967 juga akan merangkumi penerimaan tandatangan digital dan elektronik untuk proses perjanjian sewa beli.

Cadangan yang digariskan dalam CP2 memberikan butiran lanjut mengenai pelaksanaan Akta Kredit Pengguna (Consumer Credit Act, CCA) yang pembentangannya di Parlimen disasarkan menjelang akhir tahun ini. CCA akan mengawal selia semua penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank di Malaysia. Matlamat CCA adalah untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih teratur, telus dan adil bagi melindungi pengguna kredit iaitu individu yang memperoleh atau memohon kredit bagi tujuan peribadi, domestik atau isi rumah, serta untuk perusahaan kecil dan mikro yang mengambil pinjaman sehingga nilai ambang tertentu.

Pihak yang berkepentingan dan orang ramai dipelawa untuk mengemukakan maklum balas dan ulasan mengenai kertas rundingan kepada Pasukan Petugas CCOB selewat-lewatnya pada 15 Mei 2023. Lawati laman web CCOB untuk menggunakan borang maklum balas CCOB atau e-mel kepada [email protected].

Untuk maklumat lanjut tentang CCOB dan CCA, sila lawati www.ccob.my.


LEMBAGA PEMANTAUAN KREDIT PENGGUNA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup