Pelabur Digesa Memfailkan Tuntutan untuk Pengembalian Wang sebelum 6 Februari
7 Januari 2019   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menggesa orang ramai yang telah melabur dalam dua skim dagangan niaga hadapan dan ekuiti tidak sah untuk memfailkan tuntutan mereka untuk pengembalian wang sebelum 6 Februari 2019.

Skim pertama adalah berkaitan dengan Kahar Mohd Tahir (Nombor Kad Pengenalan: 670215-01-6185) ("Kahar") manakala skim kedua melibatkan Mohd Faizal Jamaludin (Nombor Kad Pengenalan: 760405-01-5625) ("Faizal"). Siasatan SC menunjukkan bahawa kedua-dua individu ini telah mendapatkan wang secara tidak sah daripada orang ramai antara Februari dan Disember 2015, dengan maksud untuk melabur dalam skim dagangan niaga hadapan dan ekuiti. Kedua-duanya didapati menjalankan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen.

Berikutan sekatan pentadbiran yang dikenakan terhadap kedua-dua individu tersebut, proses untuk pengembalian wang telah dimulakan pada bulan Oktober 2016 dan April 2018 bagi kes Kahar dan Faizal. Sehingga September 2018, sejumlah RM854,173.20 telah diperolehi daripada kedua-dua individu itu untuk tujuan pemulangan kepada pelabur yang layak.

Setakat ini, SC berjaya memulangkan sebanyak RM744,844.30 kepada 25 pelabur yang terjejas.

Orang ramai yang telah melabur dalam kedua-dua skim tersebut dikehendaki mengemukakan tuntutan mereka, bersama-sama bukti pelaburan yang diperlukan, kepada SC sebelum 5 petang pada 6 Februari 2019.

Setelah menerima tuntutan, SC akan menentukan jumlah tuntutan berdasarkan dana yang tersedia dan pulangan yang diterima oleh pihak menuntut (jika ada).

Borang tuntutan dan butiran lanjut mengenai perkara ini boleh didapati di laman sesawang SC di https://www.sc.com.my/regulation/enforcement/claim.

Pelabur yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai proses pengembalian wang ini boleh menghubungi Pejabat Pengguna & Pelabur SC di 03-62048999 atau [email protected].

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup