Pelajari Cara Menyediakan Dasar Pelaburan yang Berkesan Berpandukan Profil Perilaku Pelabur di Seminar Sabtu SIDC

Kuala Lumpur, 21 Januari 2002

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) akan menganjurkan Seminar Sabtu untuk mendidik orang ramai tentang bagaimana menyediakan dasar pelaburan yang berkesan dengan menilai profil pelabur, satu teknik yang lebih dikenali sebagai kewangan perlakuan.

Seminar bertajuk "Insights on Behavioural Finance: Know Your Clients" akan diadakan pada 26 Januari 2002 di bangunan Suruhanjaya Sekuriti (SC) di Kuala Lumpur.

Seminar tersebut disasarkan kepada para profesional pasaran modal, wakil peniaga, pelabur, ahli akademik, dan pelajar universiti.

Seminar itu akan dikendalikan oleh Cik Chrisanne Chin, Pengarah Eksekutif Bahagian Urus Niaga di RHB Securities Bhd. Beliau akan memberikan pengenalan dan pemakaian praktikal kewangan perlakuan dan psikografik kewangan dengan menggunakan model-model pengkelasan personaliti Bailard Beihl dan Kaiser.

"Di akhir seminar tersebut, para peserta akan mempunyai kefahaman yang lebih mengenai kewangan perilaku, bagaimana ia boleh digunakan untuk menyediakan penyata dasar pelaburan yang sesuai dan membantu dalam menilai penyata dasar pelaburan dan profil pelanggan," kata pengurus SIDC, Puan Teh Ija Mohd Jalil.

Para peserta juga akan mempelajari psikologi risiko dengan mengenal pasti dan menganalisa ciri-ciri perlakuan dan mengenal pasti objektif pelaburan pelabur, profil risiko, horizon masa atau anggaran jangka masa pelaburan untuk memenuhi pulangan pelaburannya, halangan-halangan yang unik, serta isu-isu pencukaian dan perundangan. Beberapa kes rujukan juga akan dibincangkan untuk mempertingkat kefahaman peserta mengenai tajuk-tajuk tersebut.

Seminar tersebut juga memberikan 10 mata CPE, yang boleh dikumpulkan oleh wakil peniaga bagi pembaharuan lesen tahun ini. CPE ialah program Pendidikan Profesional Berterusan SIDC yang diperkenalkan pada Januari 2001 untuk mempertingkatkan kecekapan wakil berlesen dan dalam jangka panjang, mewujudkan satu budaya pendidikan dan pembangunan diri yang berterusan di kalangan mereka. Mata yang dikumpulkan dengan menghadiri kursus-kursus CPE akan menjadi satu syarat bagi pembaharuan lesen wakil-wakil peniaga mulai Julai 2002 dan seterusnya akan merangkumi semua kategori lesen yang lain.

Yuran pendaftaran bagi seminar tersebut ialah RM180 tiap seorang. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi En. Hadi di talian 03-6204 8660, no. faks : 03-6201 5811 atau e-mel [email protected]. Untuk butiran program terkini, sila kunjungi tapak web SC di sini.

Seminar Sabtu SIDC merupakan satu siri seminar yang dikendalikan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelabur dan orang ramai mengenai pasaran modal. Seminar Sabtu SIDC ini merupakan satu seminar yang mempunyai tahap interaktif yang tinggi. Masa yang cukup akan diberikan kepada para peserta untuk mengajukan soalan di seminar tersebut.

Seminar Sabtu SIDC yang pertama bagi tahun 2002, yang diadakan di Kota Bharu pada 19 Januari 2002 lalu telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Kami gembira dengan respons positif di seminar Kota Bharu baru-baru ini. Ia menggambarkan minat yang tinggi di kalangan pelabur untuk lebih peka mengenai hak dan tanggungjawab mereka serta mendapat pendidikan mengenai pasaran modal," kata Teh Ija.

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup