Pemakaian Amalan Terbaik Tadbir Urus Korporat Kekal Positif
8 Oktober 2020   |   Kuala Lumpur

Lebih banyak syarikat tersenarai mengguna pakai amalan terbaik seperti yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) pada tahun 2019, berbanding pada tahun sebelumnya. Ketika mengumumkan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor 2020) tahunannya hari ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyatakan bahawa bidang yang menunjukkan peningkatan dalam pemakaian tersebut adalah amalan Yang Dipertingkatkan (Step Up), proses pengundian dua peringkat dan amalan lembaga pengarah untuk menentukan imbuhan pengarah dan pengurusan kanan.

CG Monitor 2020 juga menampilkan pemerhatian terhadap tiga semakan tematik mengenai penerimaan resolusi dua peringkat, imbuhan lembaga pengarah syarikat tersenarai di Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100 (FBM 100) dan pengendalian mesyuarat agung secara maya sepenuhnya oleh syarikat tersenarai sejak Perintah Kawalan Pergerakan.

Tinjauan terhadap imbuhan lembaga pengarah menunjukkan jumlah imbuhan lembaga pengarah bagi tahun 2019 telah berkurangan sebanyak 11.7% berbanding tahun 2018. Imbuhan para pengarah eksekutif juga berkurangan sebanyak 14.5% manakala imbuhan pengarah bukan eksekutif meningkat sebanyak 6.2% pada tahun 2019.

Walaupun pemakaian proses pengundian dua peringkat untuk mengekalkan pengarah bebas yang sudah lama berkhidmat telah meningkat, masih ada sebilangan besar pengarah bebas yang telah berkhidmat antara 20-40 tahun. SC memerhatikan bahawa penglibatan pemegang saham bukan besar dalam pengundian Tahap 2 masih rendah. Secara purata, hanya 40% pemegang saham bukan besar membuat pengundian mereka. Walaupun proses pengundian dua peringkat tidak wajib, SC amat menggalakkan para pemegang saham untuk mengguna pakai amalan ini untuk mengukuhkan pelantikan semula pengarah bebas yang telah berkhidmat lama. Begitu juga pemegang saham bukan besar hendaklah bangkit dan melaksanakan hak mereka dalam menentukan pelanjutan tempoh perkhidmatan pengarah-pengarah ini.

Pada 31 Ogos 2020, kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 24.82% (2018: 23.68%) dalam 100 syarikat tersenarai teratas dan 16.96% (2018: 15.69%) dalam semua syarikat tersenarai. Ketika ini, terdapat lima syarikat dengan semua lembaga pengarahnya adalah lelaki dalam 100 syarikat tersenarai teratas, iaitu Comfort Glove Bhd, Focus Dynamics Group Bhd, Frontken Corporation Bhd, Guan Chong Bhd, dan Pentamaster Corporation Bhd.

SC juga berpuas hati memerhatikan bahawa syarikat-syarikat yang lebih kecil telah mengguna pakai pendekatan yang lebih telus berhubung penzahiran imbuhan bagi pihak pengurusan kanan berasaskan nama. Syarikat yang baru mengguna pakai amalan terbaik tersebut termasuk Caely Bhd, Y&G Corporation Bhd and Timberwell Bhd. Penzahiran dan ketelusan yang berkualiti akan membolehkan pihak berkepentingan memperoleh kefahaman yang lebih mendalam mengenai rangka kerja dan amalan tadbir urus korporat yang menyokong daya tahan dan pertumbuhan perniagaan syarikat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

Untuk maklumat lanjut, muat turun Corporate Governance Monitor 2020 di www.sc.com.my.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup