Pemegang saham boleh mendapatkan dokumen tawaran pengambilalihan yang lebih mesra pengguna

Kuala Lumpur, 25 April 2001

Pemegang saham syarikat-syarikat yang terlibat dalam urusan pengambilalihan boleh mendapatkan dokumen tawaran pengambilalihan yang lebih mesra pengguna dengan pelaksanaan Garis Panduan Dokumentasi Penawaran Suruhanjaya Sekuriti (SC). Garis Panduan ini berkait dengan Kod Pengambilalihan dan Percantuman Malaysia 1998 (Kod), yang mentadbir tata laku pengambilalihan syarikat di Malaysia, dan diterbitkan menurut Seksyen 33A (4) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan Nota Amalan 1.1 Kod tersebut.

Sementara Garis Panduan tersebut berkuat kuasa serta merta, SC memberikan pihak pengamal selama tiga bulan untuk membiasakan diri mereka dengan keperluan Garis Panduan itu. Ini bermakna bahawa dokumen tawaran pengambilalihan yang diterbitkan mulai 1 Julai 2001 seterusnya mesti mematuhi Garis Panduan tersebut.

Garis Panduan tersebut, yang boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my, bertujuan untuk memastikan bahawa nasihat yang diberikan kepada pemegang saham dalam sesuatu tawaran pengambilalihan adalah jelas, mudah diikuti, disediakan menurut standard kecermatan yang tinggi, dan mempunyai maklumat bersifat komersial dan kewangan yang sebaik mungkin. Ini adalah sejajar dengan langkah SC ke arah persekitaran pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR) sepenuhnya.

Oleh yang demikian, Garis Panduan tersebut membantu para prinsipal dan penasihat bagi pelaksanaan pengambilalihan untuk memenuhi objektif dasar Kod tersebut, iaitu untuk memastikan kejelasan proses, melindungi kepentingan pemegang saham minoriti syarikat yang terbabit dalam pengambilalihan dan menyediakan maklumat yang bertepatan masa dan mencukupi kepada pemegang saham ini.

Bawah Garis Panduan tersebut, pihak dalam sesuatu urusan pengambilalihan mempunyai pilihan menerbitkan satu dokumen bersama yang menggabungkan dokumen tawaran dengan pekeliling nasihat bebas, mengikut sesuatu keadaan tertentu. Ini bermakna kemudahan yang lebih kepada pemegang saham syarikat yang menerima tawaran yang boleh menilai kedua-dua tawaran dan pandangan lembaga penerima tawaran dan penasihat bebas dalam satu dokumen. Dokumen bersama ini juga memberi manfaat kepada para penerbit kerana ia mengurangkan pertindanan maklumat dalam dokumentasi yang diperlukan bagi tawaran-tawaran bawah Kod tersebut.

Di samping itu, Garis Panduan tersebut menyediakan format-format contoh bagi dokumen tawaran, pekeliling nasihat bebas dan dokumentasi bersama, yang memudahcarakan ketekalan dalam penyediaan dokumen-dokumen itu. Format contoh tersebut bertujuan sebagai panduan dan, atas alasan praktikal, ia tidak lengkap dan menyeluruh dan boleh digunakan untuk disesuaikan dengan keperluan individu bagi setiap urus niaga tertentu.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup