Pencalonan Dibuka: Program Sarjana Tamu Kewangan Islam SC-OCIS di Pusat Pengajian Islam Oxford untuk Tahun Akademik 2018/19
21 November 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) telah membuka permohonan bagi pencalonan bagi Felo Pelawat ketujuh di OCIS di bawah Program Sarjana Tamu (SIR) dalam Kewangan Islam bagi tahun akademik bermula Oktober 2018.
Program SIR merupakan inisiatif untuk kajian terhadap isu-isu semasa dalam kewangan Islam, khususnya dalam bidang pasaran modal Islam. Program tersebut, serta kerjasama bersama OCIS, merupakan inisiatif berterusan SC berkaitan kepimpinan pemikiran dan pembangunan keupayaan untuk mempergiat perkembangan pasaran modal Islam di peringkat global. Ia telah diwujudkan pada tahun 2012 berikutan resolusi yang dibuat di Sidang Meja Bulat SC-OCIS, acara tahunan utama di bawah kerjasama tersebut. Sejak program ini dimulakan, empat orang sarjana telah menyiapkan penyelidikan mereka dalam topik kontemporari yang berkaitan dengan kewangan Islam, manakala Sarjana keenam masih menjalani program Felo Pelawat.

Pemohon dan calon-calon untuk Felo Pelawat di bawah Program SIR mestilah merupakan pakar dalam kewangan Islam dan/atau dari bidang yang berkait rapat dan harus mampu menunjukkan kebolehan untuk menjalankan penyelidikan akademik secara bebas. Tarikh tutup pengemukaan permohonan adalah pada 19 Januari 2018.

Sarjana terpilih akan memulakan program tamu di Oxford pada Oktober 2018 untuk tahun akademik 2018/19, dan menjalankan penyelidikan dan turut menyertai pelbagai aktiviti akademik di OCIS. Di samping itu, Felo Pelawat tersebut hendaklah menyampaikan syarahan dan menjalankan seminar, melibatkan diri dalam kajian secara kerjasama, dan, sekiranya diminta, menyumbang tenaga kepada program institusi-institusi berkenaan dan masyarakat setempat.

Tempoh program Felo ini adalah selama satu tahun akademik. Felo Pelawat yang berjaya akan memperoleh keahlian Pusat ini dan mendapat akses penuh kepada kemudahan-kemudahan termasuk ruang pejabat secara berkongsi dan tempat tinggal. Geran sebanyak 10,000 pound sterling (£10,000) akan diberikan sebagai kos sara hidup, perjalanan, dan perbelanjaan sampingan penyelidikan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program SIR, sila lawati bahagian Pelawat Fellowship di laman sesawang OCIS di www.oxcis.ac.uk.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup