Penganjuran Acara Utama JC3 Berkaitan dengan Perubahan Iklim – FinanceforChange Virtual Conference dari 23 hingga 25 Jun 2021
10 Jun 2021

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) hari ini mengumumkan penganjuran acara utamanya yang berkaitan dengan perubahan iklim iaitu FinanceforChange Virtual Conference dari 23 hingga 25 Jun 2021. Matlamat persidangan ini adalah untuk berkongsi pengetahuan, amalan terbaik dan penyelesaian bagi menangani perubahan iklim. Pemimpin tempatan, serantau dan dunia dalam bidang masing-masing, termasuk pengamal kewangan, penggubal dasar dan penasihat akan berbincang pelbagai topik untuk memaklumkan dan menggalakkan tindakan yang boleh diambil oleh sektor kewangan bagi menerajui dan menyokong peralihan ke arah ekonomi yang lebih lestari.
“Sektor kewangan berada pada kedudukan yang unik untuk memainkan peranan sebagai pemangkin kepada peralihan ke arah ekonomi rendah karbon. Memandangkan sektor kewangan memainkan peranan utama dalam ekonomi, intitusi kewangan perlu mengambil tindakan yang lebih padu bagi meningkatkan kelestarian kewangan serta memajukan pengurusan dan penyesuaian risiko iklim di samping penzahiran berkaitan dengan iklim,” kata Puan Jessica Chew, Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3.

Persidangan ini merupakan satu lagi inisiatif utama ke arah mengukuhkan kepentingan masa hadapan Malaysia yang lestari. Menurut Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, "Dengan menghimpunkan pelbagai peserta kewangan menerusi satu platform, FinanceforChange menggalakkan kerjasama antara industri dengan perkongsian awam-swasta. Kita semua bertanggungjawab untuk menangani perubahan iklim. Oleh itu, kita perlu memberikan perhatian dan berusaha sedaya upaya secara kolektif terhadap isu yang kritikal ini.”

Persidangan ini akan menampilkan lebih 70 pembicara terkenal termasuk Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan; Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri Malaysia; Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor BNM; Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi Eksekutif SC; Sir David Attenborough, Penyiar and Ahli Alamiah Alam Sekitar; dan Lewis Pugh, Duta Lautan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Dua hari pertama persidangan akan memberikan tumpuan pada sektor kewangan dan cara kelestarian diambil kira dalam proses membuat keputusan perniagaan pada peringkat lembaga pengarah dan pengurusan. Agenda ini termasuk bengkel praktikal dan kajian kes. Selain itu, sesi teknikal akan diadakan secara serentak untuk pengamal kewangan dalam perbankan institusi, perbankan pengguna, pengurusan aset, insurans dan takaful serta fungsi sokongan utama seperti sumber manusia, pemerolehan dan pengurusan fasiliti.

Agenda pada hari ketiga persidangan disusun untuk sektor swasta, termasuk pelanggan dan penerima pelaburan institusi kewangan Malaysia. Peserta akan mendapat manfaat daripada pemahaman yang lebih mendalam tentang cara peraturan dan keperluan yang berubah, seperti Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip yang dikeluarkan baru-baru ini, yang akan memberikan kesan kepada mereka sebagai peminjam dan penerima pelaburan. Peserta juga akan mengetahui lebih lanjut tentang peluang nyata yang ditawarkan oleh agenda hijau dan kewangan yang lestari.

Sektor perniagaan dan orang ramai dipelawa untuk mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai perubahan iklim ini dengan menyertai FinanceForChange Virtual Conference. Pendaftaran dan maklumat mengenai acara ini boleh didapati melalui https://jc3conference.msfi.com.my/.
DIKELUARKAN OLEH BANK NEGARA MALAYSIA DAN SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup