Pengarah Dipenjara, Didenda RM2.25 juta kerana Gagal Hadir Dihadapan SC untuk Siasatan

15 Julai 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 14 Julai 2022 telah mensabitkan kesalahan terhadap Amirruddin bin Nin atas tiga kesalahan di bawah Seksyen 32(8)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613). Amirruddin merupakan pengarah CTB Solutions Sdn Bhd, syarikat yang menyediakan penyelesaian pengurusan armada (fleet) GPS bersepadu yang fleksibel untuk pelbagai industri.

Kesalahan tersebut yang dilakukan antara 15 Jun 2017 dan 18 Februari 2020, adalah berhubung dengan kegagalan Amirruddin untuk hadir di hadapan pegawai penyiasat SC untuk pemeriksaan berkaitan siasatan pengubahan wang haram.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 dan penjara sehari bagi Amirruddin, 52, bagi setiap daripada tiga pertuduhan ke atasnya, dengan hukuman penjara dijalankan serentak.

Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun juga mendapati Amirruddin bersalah kerana terus menerus gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan SC untuk hadir bagi pemeriksaan iaitu selama 979 hari. Mahkamah memerintahkan Amirruddin untuk membayar denda harian sebanyak RM2,000, dengan jumlah sebanyak RM1,958,000. Jumlah keseluruhan denda terhadapnya berikutan sabitan adalah sebanyak RM2,258,000.

SC ingin mengingatkan orang ramai bahawa kegagalan untuk mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan oleh pegawai penyiasat SC adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang sekuriti, kerana ini akan menghalang SC dalam melaksanakan fungsi penyiasatan dan penguatkuasaannya yang amat penting dalam mengekalkan integriti pasaran modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup