Pengarah Syarikat Awam Tersenarai Juga Boleh Dipertanggungkan bagi Pelanggaran Undang-Undang Sekuriti

Kuala Lumpur, 30 November 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC), hari ini memperjelaskan salah tanggapan beberapa pihak bahawa SC dan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) telah secara tidak langsung menghukum pemegang saham syarikat awam tersenarai yang bersalah dengan mengenakan denda ke atas syarikat tersebut dan bukannya pengarah syarikat berkenaan.

SC dalam menyangkal salah tanggapan tersebut, mengatakan bahawa ia telah mengambil tindakan penguatkuasaan secara langsung terhadap setiap pengarah syarikat awam tersenarai. Pendakwaan-pendakwaan ini adalah sebagai tambahan kepada tindakan yang diambil terhadap perantara pasaran berlesen. Pada tahun ini sahaja, dari 1 Januari - 28 November 2000, SC telah memfailkan tuduhan di mahkamah terhadap tiga orang pengarah syarikat awam tersenarai dan seorang pengarah di sebuah syarikat broker niaga hadapan kerana melanggar undang-undang sekuriti termasuk, antara lain, pengemukaan kenyataan palsu berkenaan hal ehwal syarikat kepada bursa saham dan pemalsuan rekod-rekod.

Tahun lepas SC juga telah memfailkan tuduhan di mahkamah terhadap enam orang pengarah bagi kesalahan penipuan, manipulasi pasaran dan pengemukaan kenyataan palsu kepada SC dalam satu cadangan. Empat daripada yang dituduh tahun lepas merupakan pengarah syarikat awam tersenarai manakala dua yang lain merupakan pengarah syarikat broker saham. SC juga telah mengenakan kompaun terhadap dua orang pengarah syarikat awam tersenarai sepanjang 11 bulan yang lepas tahun ini kerana kesalahan yang membabitkan pengemukaan kenyataan palsu atau mengelirukan dalam satu cadangan dan telah mencadangkan kepada pihak Pendakwa Raya terhadap dua lagi untuk dikompaun kerana melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

SC menjelaskan bahawa bidang kuasa utamanya terhadap syarikat dan para pengarah adalah termaktub melalui undang-undang sekuriti, seperti Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 serta Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti dan Kod Pengambilalihan dan Percantuman 1998. Oleh itu, tindakan penguatkuasaan SC adalah berkaitan dengan pelanggaran undang-undang dan peraturan-peraturan ini. SC menegaskan bahawa kedua-dua syarikat awam tersenarai yang bersalah dan para pengarahnya boleh dipertanggungkan bagi pelanggaran undang-undang sekuriti.

SC menambah bahawa berkuatkuasanya pindaan kepada Keperluan Penyenaraian BSKL akan memastikan bahawa Bursa tersebut mempunyai kuasa undang-undang untuk menguatkuasakan secara efektif keperluan penyenaraian terhadap setiap pengarah syarikat awam tersenarai. Pindaan kepada Keperluan Penyenaraian BSKL telah diluluskan oleh SC dan butirannya akan diumumkan pada Januari 2001.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup