Pengasas Wikipedia Jimmy Wales akan berucap di Simposium Pasaran Modal Dunia 2010
28 Julai 2010  |   Kuala Lumpur
Wales akan berucap buat julung kalinya di Malaysia

Jimmy Wales, pengasas Wikipedia, akan berucap di Simposium Pasaran Modal Dunia (WCMS) di Kuala Lumpur pada 27-28 September 2010, dan ini merupakan ucapan sulungnya di Malaysia, kata penganjur Simposium tersebut yang diumumkan pada hari Rabu.

Wales, yang mengasaskan ensiklopedia percuma maya pelbagai bahasa pada tahun 2001, akan menyertai pembuat dasar dan pakar-pakar industri kewangan dalam berkongsi pemikiran mereka di simposium tersebut, dengan tema “Transforming Capital Markets: Leadership, Change and Governance”.

WCMS, inisiatif oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), akan menghimpunkan pemimpin pendapat yang berpengaruh, pembuat dasar dan penggiat pasaran bagi meneliti peranan strategik kepimpinan dalam mencapai pertumbuhan yang kekal dan lebih seimbang melalui satu proses transformasi yang lebih terangkum bagi menjadikan sistem dan pasaran kewangan lebih bingkas dalam menghadapi krisis pada masa akan datang.

Wikipedia merupakan hasil wawasan Wales supaya setiap orang di planet ini diberikan akses sepenuhnya terhadap semua pengetahuan tentang manusia. Beliau yang sentiasa berpandangan jauh dan menunjukkan kepimpinan yang disegani, merupakan seorang yang sangat prolifik di kalangan generasi pemikir kini yang membantu membentuk evolusi Jaringan Sejagat sebagai sebuah platform yang boleh disertai dan benar-benar demokratik. 

Sebagai pemberi ucap utama di WCMS, Wales akan berkongsi visi, perspektif dan pandangan beliau melalui pengajaran daripada Wikipedia dan dalam mendemokrasikan maklumat dan pengetahuan dan bagaimana hendak menggunakan atau menyalurkan maklumat dan pengetahuan tersebut secara bertanggungjawab terutama dalam pasaran kewangan dan pasaran modal yang begitu pantas berevolusi.

Malaysia, yang sedang bergerak ke arah ekonomi berteraju inovasi dan berasaskan pengetahuan, akan secara agresif menggalakkan pengembangan infrastruktur Broadband sebagai pemudah cara paling penting dalam menghubungkan syarikat-syarikat besar dan syarikat-syarikat sederhana dan kecil kepada Jaringan Sejagat, yang dijangka akan menjadi medium utama bagi akses lebih besar terhadap pasaran domestik, serantau dan global. Sehubungan itu, pengalaman Wikipedia akan memberikan pendidikan kepada syarikat-syarikat pada masa mereka merombak semula strategi dan model perniagaan bagi menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan.

Antara penghargaan yang pernah diterima oleh Wales termasuklah dinamakan sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time pada tahun 2006, dan menerima anugerah Economist‘s Business Process. Forum Ekonomi Dunia mengiktiraf Wales sebagai salah seorang “Pemimpin Muda Dunia” pada tahun 2007, iaitu sebuah anugerah berprestij yang mengiktiraf 250 pemimpin muda terkemuka di dunia.

Wales akan menyertai peneraju pemikiran terkemuka yang lain di WCMS tersebut, termasuk Dr Nouriel Roubini yang pernah meramalkan kemelesetan ekonomi AS lebih setahun sebelum ia bermula; Dr Montek Singh Ahluwalia, arkitek bagi program pembaharuan India dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perancangan India; dan Timothy C Draper, Pengasas dan Pengarah Urusan sebuah firma modal teroka terkemuka Draper Fisher Jurvetson yang kejayaan lalunya termasuklah, antara lain, Skype, Baidu dan Hotmail. Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan merasmikan simposium dan menyampaikan ucap utama.

WCMS 2010 dianjurkan susulan kejayaan cemerlang simposium itu pada tahun lalu yang menarik lebih daripada 500 delegasi dari 30 negara dan menyediakan satu platform bagi pakar-pakar dunia dalam bidang ekonomi, kewangan dan pasaran modal, bersama-sama pemimpin kerajaan dan korporat, pembuat dasar dan pengamal pasaran bagi bertukar-tukar pandangan, berkongsi wawasan dan berbincang mengenai cabaran, peluang dan kemungkinan penyelesaian terhadap isu-isu ekonomi dan kewangan global. 

Penyertaan dalam WCMS 2010 hanya melalui jemputan. Untuk maklumat lanjut mengenai simposium, sila layari www.worldcapitalmarketssymposium.org
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup