Pengasas Wikipedia Jimmy Wales akan memberi ceramah kepada usahawan teknologi dan pelajar Malaysia mengenai kepentingan sampingan Simposium Pasaran Modal Dunia 2010
23 September 2010   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengadakan sesi khas di antara Jimmy Wales, pengasas Wikipedia, dan usahawan teknologi dan pelajar-pelajar Malaysia sempena Simposium Pasaran Modal Dunia (WCMS 2010) di Kuala Lumpur pada 27-28 September 2010.

Sesi tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), akan diadakan di Universiti Multimedia Universiti di Cyberjaya pada 27 September 2010.

Dengan fokus Kerajaan untuk mengubah Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, usaha SC ini akan membolehkan Wales berkongsi visi dan pengetahuannya dengan khalayak yang lebih meluas di kalangan usahawan muda teknologi dan para pelajar Malaysia dan bukan hanya para perwakilan di WCMS 2010.

Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, “Kami berbesar hati Jimmy Wales telah bersetuju bertemu dengan usahawan muda teknologi dan para pelajar kita yang akan memperoleh manfaat daripada pengetahuan dan pengalamannya yang luas. Dalam melangkah ke arah ekonomi yang dipacu inovasi dan berasakan pengetahuan, Malaysia perlu secara agresif menggalakkan pengembangan infrastruktur jalur lebar sebagai pemudah cara penting bagi menghubungkan syarikat yang besar, sederhana dan kecil dengan jaringan sejagat. Pengalaman Wikipedia mempunyai pengajaran berguna untuk ditawarkan kepada pengusaha yang ingin menjadi sebahagian daripada rangkaian bekalan global.”

Wales, yang akan bercakap buat julung kalinya di Malaysia dalam Simposium tersebut, akan berceramah kepada delegasi WCMS mengenai visi, perspektif dan wawasannya melalui pengajaran daripada pengalaman Wikipedia. Beliau juga akan bercakap mengenai pendemokrasian maklumat dan pengetahuan dan bagaimana untuk menggunakan atau menyampaikannya secara bertanggungjawab terutama dalam pasaran modal dan kewangan yang berubah pantas.

Wikipedia merupakan hasil visi Wales bahawa setiap orang di dunia ini diberikan akses sepenuhnya terhadap semua pengetahuan yang dimiliki manusia. Melalui pandangan jauh dan kepimpinan hebatnya, beliau merupakan antara tokoh paling prolifik generasi pemikir kini yang telah membantu membentuk evolusi Jaringan Sejagat sebagai sebuah platform penyertaan yang benar-benar demokratik.

Wales akan menyertai pembuat dasar utama dan pakar-pakar industri kewangan yang lain di WCMS 2010, yang bertemakan “Transforming Capital Markets: Leadership, Change and Governance” (“Mengubah Pasaran Modal: Kepimpinan, Perubahan dan Tadbir Urus”). Pembentang kertas kerja lain di Simposium itu termasuklah Dr Nouriel Roubini yang pernah meramalkan kemelesetan ekonomi AS lebih setahun sebelum ia bermula; Dr Montek Singh Ahluwalia, arkitek program pembaharuan India dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perancangan India; dan Timothy C Draper, Pengasas dan Pengarah Urusan sebuah syarikat modal teroka global utama, Draper Fisher Jurvetson.

WCMS merupakan inisiatif SC bagi menghimpunkan pemimpin pendapat, pembuat dasar dan penggiat pasaran untuk melihat peranan strategik kepemimpinan dalam mencapai pertumbuhan yang berdaya kekal dan lebih seimbang melalui satu proses pembaharuan yang lebih terangkum bagi menjadikan sistem dan pasaran kewangan lebih bingkas terhadap krisis akan datang.

Penyertaan dalam WCMS 2010 hanya melalui jemputan sahaja. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Simposium tersebut, sila layari www.worldcapitalmarketssymposium.org
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup