Program Pasaran Membangun (EMP), salah satu daripada program kemegahan SC dalam pembinaan kapasiti bagi pengawal selia, akan turut menyerlahkan usaha Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) dan badan-badan multilateral lain dalam membawa pembaharuan kepada pasaran modal dan kewangan global.
Bertemakan “Mengurus Perubahan Pengawalseliaan – Mencapai Keseimbangan”, EMP itu akan dihadiri oleh kira-kira 60 penceramah dan delegasi dari lebih 19 negara. Mereka akan bertukar-tukar pandangan mengenai apa yang boleh dipelajari oleh pasaran membangun dari krisis kewangan global paling buruk sejak tahun 1930an.
Salah satu daripada cabaran utama yang dihadapi para pengawal selia, terutama dari pasaran membangun, adalah bagaimana hendak mencapai keseimbangan pengawalseliaan yang betul bagi memastikan syarat dan peraturannya cukup lasak untuk menahan kejutan sistemik terhadap pasaran sambil memberikan ruang untuk inovasi.
Pengerusi SC Tan Sri Zarinah Anwar akan menyampaikan ucap utama. Penceramah disegani lain termasuklah:
- Dr Ahmad Fuad Rahmany, Pengerusi Capital Market Supervisory Agency (BAPEPAM);
- Fe B. Barin, Pengerusi Securities and Exchange Commission (SEC), Filipina;
- Greg Tanzer, Ketua Setiausaha IOSCO yang beribu pejabat di Madrid;
- K.N. Vaidyanathan, Pengarah Eksekutif Securities and Exchange Board of India (SEBI);
- Paul Saulski, Penasihat Kanan di Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa di U.S. Securities and Exchange Commission (SEC);
- Anthony Belchambers, Ketua Eksekutif Persatuan Niaga Hadapan & Opsyen yang beribu pejabat di London;
- Datuk Seri Panglima Andrew Sheng, Ketua Penasihat China Banking Regulatory Commission dan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara Malaysia;
- Prakash Kannan, Pakar Ekonomi, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Antara lain, mereka akan menyentuh mengenai menguruskan risiko sistemik, masa hadapan dana lindung nilai, mengukuhkan peranan juruaudit, menaikkan standard tadbir urus korporat dan meningkatkan pengawasan pasaran.
EMP, yang memasuki edisi kesepuluhnya tahun ini, dibangunkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), cabang latihan SC.