Pengawal selia pasaran modal ASEAN lancar inisiatif di bawah pelan tindakan 5 tahun baharu ACMF
25 Mac 2016|   Kuala Lumpur
Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) hari ini meluluskan Pelan Pelaksanaan Tahunan 2016 ACMF (Pelan Tahunan), yang menggariskan keutamaan segera ACMF bagi tahun ini, ketika mesyuarat ke-24 yang dihoskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, Thailand. Pelan Tahunan ini telah dibangunkan berdasarkan Pelan Tindakan ACMF 2016-2020 (Pelan Tindakan) yang telah diluluskan sebelum ini dan akan dibentangkan di Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN pada April 2016 untuk kelulusan. Pelan Tindakan akan memacu objektif ACMF untuk mencapai pasaran modal ASEAN yang saling berhubungan, terangkum dan berdaya tahan, bagi merealisasikan Visi Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 dalam memperluas penyepaduan ekonomi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Komponen utama Pelan Tindakan adalah untuk memudahcarakan bina upaya bagi negara anggota. ACMF telah bekerjasama dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang mana satu analisis keperluan telah dijalankan untuk memacu pembangunan program bina upaya yang dirangka khusus untuk negara-negara anggota secara individu dan berkumpulan. ACMF melancarkan Program Pengawal Selia Muda ASEAN sebagai program pertama yang akan dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Pasaran ACMF. Program baharu ini bertujuan untuk menggalakkan perkongsian bersama dan pertukaran kepakaran dan pengalaman dalam kalangan pengawal selia pasaran modal dalam membina bekalan tenaga kerja yang berterusan dan untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan pengawal selia sekuriti ASEAN melalui peluang program peminjaman kakitangan pengawal selia pasaran modal ASEAN.

ACMF menyambut baik kemajuan rangka kerja bagi penawaran rentas sempadan bagi skim pelaburan kolektif ASEAN, mengambil maklum bahawa 13 dana telah diiktiraf oleh bidang kuasa negara masing-masing sebagai Skim Pelaburan Kolektif Berkelayakan ASEAN setakat ini, lima daripadanya telah diluluskan dan dilancarkan dalam bidang kuasa yang menjadi tuan rumah. ACMF mengalu-alukan kumpulan kerja dan negara anggota yang sedang berusaha untuk menyertai Rangka Kerja Skim Pelaburan Kolektif ASEAN dengan komitmen mereka.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang memudahcarakan penawaran rentas sempadan skim pelaburan kolektif, pengumpulan dana rentas sempadan dan kerterhubungan bursa saham ASEAN, tiga panel perundingan industri telah dibentuk di bawah naungan ACMF, dengan wakil daripada peserta utama industri dari negara-negara anggota ASEAN . Di samping itu, ACMF telah menjalin kerjasama dengan ADB untuk menjalankan satu kajian untuk mendapatkan input mengenai keterhubungan bursa saham ASEAN. ACMF juga akan bekerjasama dengan panel industri untuk terus melibatkan pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa untuk meningkatkan profil ASEAN sebagai destinasi pelaburan dan mempromosikan ASEAN sebagai satu kelas aset di samping meningkatkan daya tarikan inisiatif ACMF untuk memperoleh penyertaan yang lebih luas.

Elemen penting dalam penyepaduan serantau yang lebih besar ialah pergerakan para profesional pasaran modal di rantau ini. ACMF telah bersetuju untuk meningkatkan usaha dalam memudahcarakan pergerakan para profesional pasaran modal melalui rundingan bersama peserta industri di rantau ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup