Rangka Kerja ini membolehkan pengurus dana yang beroperasi di sebuah negara ahli menawarkan CIS (seperti dana unit amanah) yang ditubuhkan dan dibenarkan dalam bidang kuasa tersebut untuk ditawarkan kepada pelabur runcit di negara ahli yang lain di bawah proses pemberian kebenaran yang diselaraskan.
Dalam Rangka Kerja ini, pengurus dana yang berkelayakan di Malaysia kini mempunyai peluang untuk menawarkan produk mereka secara langsung kepada pelabur di Singapura dan Thailand. Sejajar dengan itu, pelabur Malaysia akan mendapat manfaat daripada pelbagai produk pelaburan yang akan dibuat hasil daripada pengoperasian Rangka Kerja tersebut.
Pengumuman itu adalah ekoran daripada Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Rangka Kerja ASEAN CIS yang ditandatangani oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, Thailand (SEC Thailand) pada bulan Oktober 2013.
Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, berkata, "Ini adalah satu langkah ke arah integrasi pasaran modal ASEAN selaras dengan matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN 2015. ASEAN mempunyai salah satu kadar tabungan paling tinggi di dunia yang boleh dilaburkan semula di rantau ini untuk menjana pulangan dan menyumbang kepada prospek pertumbuhan masa depan rantau ini," kata
"Di bawah inisiatif ini, pelabur dan pengurus dana boleh mendapat manfaat dan mengumpil peluang di salah satu rantau yang paling dinamik di dunia, dengan KDNK tergabung melebihi AS$2.4 trilion," katanya.
Encik Lee Boon Ngiap, Penolong Pengarah Urusan (Kumpulan Pasaran Modal), MAS, berkata "Pelabur runcit dalam ASEAN akan mendapat manfaat daripada peningkatan dalam pilihan dana untuk pelaburan dengan pelancaran Rangka Kerja ASEAN CIS. Pengurus dana di sebuah negara ASEAN akan mempunyai laluan langsung dan cekap untuk menawarkan dana mereka kepada pelabur runcit di negara-negara ASEAN yang lain. Kami mengharapkan penyertaan lebih banyak negara ASEAN dalam rangka kerja ini pada masa akan datang."
Encik Vorapol Socatiyanurak, Setiausaha Agung SEC Thailand pula berkata, "Pelaksanaan Rangka Kerja ASEAN CIS ini akan menjadi set lengkap bagi penawaran CIS ASEAN untuk pelabur runcit dan bukan runcit, dan dengan itu akan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada sektor swasta kerana ia menawarkan pelbagai jenis produk baru untuk pelabur mempelbagaikan portfolio mereka. Pelaksanaan ini merupakan satu lagi langkah penting ke arah mencapai wawasan Komuniti Ekonomi ASEAN di bawah Pelan Pelaksanaan ACMF.”
Ahli-ahli dalam bidang kuasa tersebut juga telah menerbitkan Buku Panduan bagi Pengendali CIS untuk CIS ASEAN, yang memberi panduan kepada pengurus dana mengenai pelbagai urusan pentadbiran dan prosedur termasuk prosedur permohonan, penggunaan pengedar tempatan dalam proses penawaran, dan prosedur bagi pengiriman dana. Buku Panduan ini boleh dimuat turun di http://www.theacmf.org/ACMF/upload/asean_cis_handbook.pdf.
Maklumat lanjut mengenai Pelan Pelaksanaan ACMF dan Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015 boleh didapati di http://www.theacmf.org/ACMF/webcontent.php?content_id=00014 dan http://www.asean.org/5187- 10.pdf.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA